
“Semoga seluruh rakyat dan negara dilimpahi keberkatan, kesejahteraan dan kemakmuran serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.
“Semoga juga dikurniakan keafiatan, perpaduan dan keharmonian yang berkekalan,” titah Seri Paduka berdua dalam poster dimuat naik di Facebook Istana Negara.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pula mengharapkan ketibaan 2024 akan memberi suasana lebih cerah dan positif buat rakyat, di mana kerajaan perpaduan akan memfokuskan usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara bagi meredakan kesusahan rakyat, selain menjamin perkhidmatan pendidikan dan kesihatan bermutu.
Justeru, beliau menggesa Jemaah Menteri, barisan pegawai kanan, agensi penguat kuasa, badan keselamatan, penjawat awam serta sektor swasta meningkatkan usaha menjadikan Malaysia negara hebat dan gagah di rantau ini.
“Kita melabuh tirai 2023, wajar saya mulakan dengan memberikan sedikit rumusan mengulangi apa yang telah disampaikan kepada umum bahawa kedudukan prestasi pertumbuhan ekonomi masih bertahan kepada 4%.
“Ini antara terbaik, tetapi ada lagi nikmat dan kejayaan, umpamanya penurunan inflasi kurang daripada 2%, penurunan kadar pengangguran yang sangat rendah,” katanya menurut Bernama yang memetik video dikongsi di Facebooknya.
Tetapi katanya, beliau tidak mahu terpukau dengan angka dan data kerana ukuran sebenarnya ialah kemaslahatan, kebajikan serta kesejahteraan rakyat dan kos sara hidup dihadapi rakyat yang perlu ditangani.
Menteri kewangan itu berkata, tumpuan penuh terhadap usaha memacu pertumbuhan ekonomi perlu dilakukan dengan membetulkan tatakelola dalam kepimpinan serta pentadbiran awam.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana melaksanakan tugas mereka dengan berkesan.
Bagi memastikan setiap dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, katanya, kaedah penyampaian perkhidmatan lama tidak boleh diguna pakai lagi, sebaliknya perlu diperbaiki, termasuk mempercepatkan proses kelulusan setiap jabatan seolah-olah menghadapi isu keselamatan dan keadaan darurat.
Hanya dengan cara ini, beliau berkata, ekonomi boleh dipacu dan Malaysia boleh menjadi negara berdaya saing.
Anwar berkata, soal perpaduan dan keselamatan rakyat antara cabaran yang perlu diberikan keutamaan dengan memastikan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan melibatkan kedudukan agama Islam, kedaulatan Raja-raja Melayu, hak keistimewaan Bumiputera serta Bahasa Melayu tidak diganggu.
“Semangat perpaduan untuk memeluk keseluruhan rakyat daripada pelbagai kaum dan agama, itu tugas hakiki yang tidak boleh disangkal ataupun diringankan. Kalau ini dapat kita capai, kita boleh beralih daripada permasalahan titik bengik yang tidak berkesudahan.”
Sepanjang tahun ini, katanya, kerajaan perpaduan berjaya bekerja sebagai sebuah pasukan, berkat sistem politik stabil yang baru dicapai selepas negara dilanda suasana ketidaktentuan selama beberapa tahun.
“Hasil pandangan, nasihat dan pedoman Raja-raja Melayu, khususnya keputusan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, kita telah dapat mengharungi dengan bergaya dan berjaya.”