Parti politik perlu sepakat demi pembangunan negeri, kata Hajiji

Parti politik perlu sepakat demi pembangunan negeri, kata Hajiji

Ketua menteri yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah itu berkata sudah tiba masanya rakyat Sabah bersatu dalam satu wadah tempatan dan mengelakkan perpecahan.

Hajiji Noor mengingatkan parti politik tempatan di Sabah supaya jangan terlampau berpolitik hingga terlupa perkara asas iaitu memenuhi keperluan rakyatnya sendiri. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Kesepakatan dalam kalangan parti politik tempatan khususnya berkaitan kepentingan negeri amat perlu dalam usaha membangunkan Sabah dan rakyatnya, kata Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor.

Ketua menteri itu berkata sudah tiba masanya rakyat Sabah bersatu dalam satu wadah tempatan dan mengelakkan perpecahan bagi menjaga kepentingan negeri serta rakyat Sabah, selain kepentingan nasional.

“Dalam masa sama juga kita bersama menjaga kepentingan nasional, itu juga penting. Kita bersatu untuk kita fokus kepada pembangunan Sabah dan rakyat kita.

“Janganlah kita terlampau berpolitik hingga kita ini lupa kepada perkara asas iaitu (memenuhi) keperluan rakyat kita sendiri,” katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu GRS di sini hari ini.

Selasa lepas, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Ewon Benedick dilaporkan berkata penyatuan kerjasama antara parti politik Sabah, sama ada dalam gabungan negeri atau kebangsaan, dilihat penting untuk manfaat rakyat.

Parti komponen GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

Upko, yang merupakan sebuah parti dari Sabah, adalah parti komponen Pakatan Harapan (PH) bersama PKR, DAP dan Amanah; manakala PH dan GRS bekerjasama dalam kerajaan perpaduan kini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.