
Beliau berkata kebanyakan kes Covid-19 melibatkan gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.
Katanya, Omicron kekal menjadi varian utama yang sedang menular dengan sub variannya adalah XBB.1.16, XBB.1.5, EG.5 dan termasuk JN.1.
“Bagaimanapun, diketahui (varian Omicron) tidak menyebabkan kes yang lebih teruk,” katanya dalam kenyataan.
Dzulkefly berkata kumpulan rentan seperti warga emas, individu mempunyai penyakit kronik, individu imuniti rendah digalakkan memakai pelitup muka semasa berada di tempat sesak atau menaiki pengangkutan awam.
“Dengan komitmen semua, situasi Covid-19 di negara ini akan kekal terkawal,” katanya.
Pada 24 Dis, beliau dilaporkan berkata jumlah kes jangkitan Covid-19 dijangka menurun Januari ini.
Kes Covid-19 meningkat sebanyak 29.5% kepada kepada 22,413 kes berbanding 17,307 kes direkodkan pada minggu sebelumnya pada Minggu Epidemiologi ke-51 (ME51) iaitu bagi tempoh 17 hingga 22 Dis.
Pada 25 Dis lalu, Johor melaporkan satu kematian akibat Covid-19 pada ME51.