Gagal panggil balik produk, pengeluar kicap didenda RM6,500

Gagal panggil balik produk, pengeluar kicap didenda RM6,500

Ia selepas Syarikat Haribah Industries Sdn Bhd yang diwakili pengurusnya mengaku bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan bagi dua pertuduhan itu, jika gagal membayar denda. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Syarikat pengeluar kicap, sos, perasa makanan dan pembungkusan didenda RM6,500 oleh Mahkamah Majistret Tawau kerana didapati bersalah atas dua pertuduhan gagal memanggil balik produk Ogos lalu.

Harian Metro melaporkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin membuat keputusan itu selepas Syarikat Haribah Industries Sdn Bhd yang diwakili pengurusnya, Fung Yuan Hing, 51, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan serentak oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut dua pertuduhan itu, syarikat yang beroperasi di Bandar Sri Indah, Tawau itu didakwa gagal mematuhi arahan memanggil balik produk di bawah Akta Makanan 1983 seperti termaktub dalam Seksyen 13C(1) Akta Makanan 1983.

Kesalahan itu dilakukan di dua premis berasingan di Tawau antara 3 hingga 4 petang pada 14 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 13C(1) Akta Makanan 1983 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 13C (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih sepuluh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan bagi dua pertuduhan itu, jika gagal membayar denda.

Tertuduh kemudian menjelaskan denda itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.