Dapur kotor, najis tikus bersepah; DBKL arah 3 restoran tutup

Dapur kotor, najis tikus bersepah; DBKL arah 3 restoran tutup

DBKL berkata sebanyak 30 premis makanan diperiksa dan hasilnya 35 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Keadaan dapur sebuah kedai makan yang kotor ketika pemeriksaan dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di ibu negara semalam. (Gambar DBKL)
PETALING JAYA:
Najis tikus di kawasan dapur selain premis kotor dan berbau antara pemandangan jijik tiga premis menjual makanan yang diarah tutup dalam operasi oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di ibu negara, semalam.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan pihaknya mengeluarkan 35 kompaun terhadap pemilik perniagaan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Sepadu Bersih.

Operasi itu melibatkan premis makanan di Jalan Hujan Rahmat, Jalan Radin Bagus dan Jalan Radin Tengah di Seputeh, GLo Damansara, Jalan Lang Kuning dan Viva Mall Damansara di Segambut serta Jalan Development, Jalan Metro Perdana di Kepong.

“Sejumlah 30 premis diperiksa dan hasilnya, tiga premis dikenakan tindakan arahan penutupan yang mana satu daripadanya di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan dua lagi mengikut 28(1) Undang-undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016.

“Dalam masa sama, 35 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan Undang-undang Kecil Pengendali Makanan 1979,” kata kenyataan itu.

Antara kesalahan lain yang dikenal pasti adalah pekerja tiada suntikan tifoid dan pengendalian pembuangan sisa tidak teratur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.