Tak semua orang mahu kembali ke pejabat

Tak semua orang mahu kembali ke pejabat

Ramai pekerja berkata aturan kerja fleksibel membolehkan mereka mencapai keseimbangan kehidupan bekerja.

Kira-kira 96% pekerja Malaysia lebih cenderung aturan kerja fleksibel, dan 37% rela dipotong gaji untuk bekerja di luar pejabat, menurut Randstad.
PETALING JAYA:
Sejak bekerja dari rumah pada awal pandemik Covid-19 pada 2020, segelintir rakyat Malaysia mengakui tidak mahu kembali ke pejabat.

FMT menemu ramah beberapa individu yang berkata aturan kerja fleksibel ditetapkan majikan membolehkan keseimbangan kehidupan bekerja lebih baik, dengan lebih banyak masa bersama keluarga, perkembangan peribadi selain membantu ke arah simpanan.

Fakhriy Malek, 28, pakar penyelidikan media bekerja dari rumah sejak penularan Covid-19, dan berkata aturan kerja seperti itu menjadi keutamaan untuknya apabila mencari kerja kerana membolehkannya menjaga ibu di Melaka.

“Manfaat bekerja dari rumah adalah saya dapat membantu ibu dan ada di sisinya. Saya dapat memenuhi tanggungjawab sebagai anak, menguruskan hal rumah, dan mudah ke klinik (untuk keperluan perubatan ibu) sekiranya perlu.

Fakhriy Malek hanya perlu masuk ke pejabat sebulan sekali.

“Bekerja dari rumah memberikan manfaat fizikal dan mental untuk pekerja kerana tidak perlu pergi ke tempat kerja yang semestinya meletihkan,” katanya dengan menambah beliau sebelum ini menghabiskan empat jam untuk pergi ke tempat kerja.

Sofeeyah Rabuan, 26, yang kini bekerja di sebuah syarikat multinasional berkata, bekerja dari rumah sejak ambang penularan wabak pada 2020 itu membantu dalam perkembangan peribadinya.

Menurutnya, sejak 2020 beliau telah berkahwin, mempunyai seorang anak, dan kini menguruskan keluarga, dan aturan kerja syarikatnya memberi fleksibiliti untuk menguruskan kerjaya serta kehidupan peribadi.

Sofeeyah Rabuan berkata bekerja dari rumah membantu dalam perkembangan peribadinya.

“Tanpa aturan kerja ini, saya tidak rasa mampu terus mempunyai keseimbangan kehidupan bekerja. Asalkan syarikat meneruskan aturan kerja seperti ini, saya tidak perlu mencari peluang kerjaya lain,” katanya.

Menurut syarikat perkhidmatan sumber manusia terbesar dunia Randstad, satu dalam dua pekerja Malaysia sanggup berhenti kerja untuk mencari keseimbangan kehidupan bekerja lebih sihat, manakala 96% pekerja Malaysia lebih cenderung aturan kerja fleksibel dan 37% sanggup bekerja dengan gaji rendah untuk bertugas dari luar pejabat.

Berdasarkan Randstad 2022 Remote Work Report, 88% majikan Malaysia lebih cenderung bekerja dari luar pejabat sekurang-kurangnya seminggu sekali, manakala 93% berusia antara 18 hingga 24 juga lebih gemarkan aturan kerja seperti itu.

Jurutera data, Justin Loke Jianxin, 32, berkata bekerja dari rumah membantunya menjimatkan wang termasuk untuk kos pengangkutan dan parkir.

Justin Loke berkata, beliau dapat menjimatkan perbelanjaan perjalanan setiap bulan.

Katanya, kos perjalanan setiap bulan yang jauh kurang juga membantunya dari segi kewangan, memandangkan kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur.

Awal bulan ini, Pengarah Persekutuan Majikan-majikan Malaysia Shamsuddin Bardan berkata, arahan untuk pekerja kembali bertugas di pejabat selepas bertahun-tahun bekerja dari luar mengakibatkan masalah dari segi pengekalan bakat.

Katanya, kelonggaran sekatan Covid-19 meningkatkan permintaan untuk pekerja kembali ke pejabat, seterusnya mengakibatkan konflik antara kehendak majikan serta pekerja, khususnya melibatkan belia yang lebih gemarkan aturan kerja fleksibel.

Bagi menyelesaikan masalah pengekalan bakat, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Kamarul Baharin Mansor berkata majikan mesti mencari cara untuk mewujudkan kerja yang dapat memenuhi tuntutan kerja belia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.