Pilihan raya PBT bukan keutamaan KPKT, kata Nga

Pilihan raya PBT bukan keutamaan KPKT, kata Nga

Sebelum ini, pemimpin DAP Tan Kok Wai mencadangkan kerajaan memulakan pilihan raya tempatan di Kuala Lumpur bagi “merakyatkan demokrasi”.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming melawat Pasar Bazar Rakyat Seri Kembangan.
SUBANG JAYA:
Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan keutamaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kata menterinya Nga Kor Ming, mengulas gesaan pemimpin DAP supaya pemilihan itu diperkenalkan semula.

Nga berkata sebaliknya fokus kementeriannya ketika ini untuk menjaga kebajikan rakyat antaranya melaksanakan 5,000 projek berkepentingan umum pada setiap tahun.

Beliau turut berpandangan pilihan raya PBT yang digantung sejak 1963 ‘mungkin’ boleh diperkenalkan apabila tiba masa tepat.

“Pada masa masa kini bukan keutamaan KPKT,” kata naib pengerusi DAP itu selepas melawat Pasar Bazar Rakyat Seri Kembangan.

Pada 17 Dis lalu, Ketua DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai mencadangkan kerajaan memulakan pilihan raya tempatan di bandar raya itu bagi “merakyatkan demokrasi”.

Ahli Parlimen Cheras itu dipetik berkata pengenalan pilihan raya tempatan di Kuala Lumpur bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.

Bagaimanapun, cadangannya itu menimbulkan bantahan pelbagai pihak termasuk Umno yang menjadi rakan dalam kerajaan perpaduan.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata beliau akan bertemu dengan Nga untuk membincangkan cadangan dibuat oleh Tan, memandangkan perkara itu di bawah KPKT.

Pilihan raya tempatan di Malaysia digantung pelaksanaannya pada 1960-an, dan kemudian diganti dengan sistem lantikan ketua, di mana datuk bandar majlis tempatan dan Yang Dipertua Majlis, termasuk ahli majlis dilantik kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.