Rutin berubah punca utama anak tertinggal di dalam kereta, kata pakar

Rutin berubah punca utama anak tertinggal di dalam kereta, kata pakar

Langkah-langkah seperti menjadualkan peringatan dan menyediakan senarai semak boleh membantu mengurangkan kemungkinan anak tertinggal di dalam kereta.

Khairul Alhapiz Ibrahim menggesa ibu bapa menjadualkan peringatan supaya tidak tertinggal anak di dalam kereta.
PETALING JAYA:
Perubahan mendadak dalam rutin harian menjadi punca utama ibu bapa tertinggal anak di dalam kereta, kata pakar.

Perkara ini dikenal pasti menerusi tinjauan yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) pada 2022 untuk mengkaji punca di sebalik kes kanak-kanak tertinggal di dalam kereta, menurut pegawai penyelidik kanannya, Khairul Alhapiz Ibrahim.

Beliau berkata, sebab lain termasuk pandangan ibu bapa terhalang disebabkan kerusi dalam kereta, serta keletihan dari segi mental.

“Jika salah seorang antara ibu atau bapa biasanya menghantar anak ke taska, salah seorang lagi mungkin terlupa menghantar anak apabila rutin berubah,” kata Khairul.

Untuk mengelak perkara ini terjadi, Khairul menggesa ibu bapa agar menjadualkan peringatan agar tidak tertinggal anak di dalam kereta.

Khairul berkata, lima hingga 15 minit pertama apabila seorang kanak-kanak terperangkap di dalam kereta adalah penting.

“Penting untuk adanya (mekanisme) penyejukan seperti peredaran udara bagi kanak-kanak dalam lima minit pertama, kerana suhu perlu dikawal secepat mungkin,” katanya.

Selepas 15 minit, katanya, kanak-kanak terbabit berpotensi mengalami strok haba yang menjejaskan organ dan mungkin menyebabkan kematian.

Aktivis keselamatan K Balasupramaniam juga berkata, melakukan pelbagai tugas pada masa sama dan perubahan perancangan pada saat akhir sering menyebabkan ibu bapa terlupa anak di dalam kereta.

Untuk mengurangkan kemungkinan tertinggal anak di dalam kereta, Balasupramaniam mencadangkan agar ibu bapa menyediakan senarai semak tugas harian, atau meletakkan barangan berharga di tempat duduk belakang bersama-sama anak mereka.

Balasupramaniam turut menggesa masyarakat supaya peka dan bertindak segera apabila melihat kanak-kanak berada di dalam kereta tanpa pengawasan.

“Jika kanak-kanak itu berada di tempat duduk belakang, pecahkan tingkap hadapan dan keluarkan kanak-kanak itu. Bawa mereka berteduh sambil mengangkat sedikit kaki mereka, dan beri minum air bersuhu bilik untuk menyejukkan badan mereka.

“Jika kanak-kanak itu tidak bernafas, lakukan CPR dan segera bawa ke hospital,” katanya.

Tambah baik keselamatan

Miros sedang membangunkan sistem prototaip yang dipanggil Miros Children in Vehicle Tracking and Alerting System (MyCinta), yang menggunakan penderia audio dan gerakan untuk mengesan kehadiran kanak-kanak di dalam kereta.

Sistem itu akan aktif sebaik sahaja enjin kenderaan dimatikan, yang akan mencetuskan penderia audio dan gerakan.

“Apabila kehadiran kanak-kanak dikesan, notifikasi SMS mengandungi koordinat lokasi kereta akan dihantar kepada nombor yang didaftarkan dalam sistem,” katanya.

Khairul berkata, sistem itu kemudiannya akan mencetuskan langkah-langkah automatik bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terbabit.

Ini termasuk tingkap yang akan terbuka sedikit untuk pengudaraan, lampu kecemasan (hazard) terpasang, serta mesej berbentuk LED terpapar di cermin tingkap untuk menarik perhatian orang ramai.

Menurut Khairul, pemasangan rintis prototaip MyCINTA pada kenderaan diharap dapat dilakukan tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.