
Naib presiden PKR itu berkata pengkritik terlalu pantas membuat serangan tidak berasas. Saraswathy turut memberi jaminan bahawa beliau bersama Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang akan memastikan tiada elemen atau pengaruh politik dalam dasar atau keputusan Mitra bagi pemberian dana.
Beliau yang sebelum ini timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi dalam Jemaah Menteri pertama Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dilantik ke jawatan baharu itu susulan rombakan yang dilaksanakan dua minggu lalu.
Susulan itu, khabar angin mengatakan pemindahan berkenaan sebahagian daripada perancangan untuk meletakkan Mitra di bawah kementeriannya supaya Saraswathy mempunyai kawalan ke atasnya, walaupun R Ramanan, Ahli Parlimen PKR di Sungai Buloh, telah dilantik sebagai timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi.
Pengkritik mendakwa tindakan itu bagi menjamin PKR terus mengawal Mitra dan menarik pengundi India.
Saraswathy berkata, pelantikan Aaron dari Gabungan Parti Sarawak menunjukkan kerajaan merentas bangsa dan agama.
“Kerajaan Anwar beralih daripada penguasaan mana-mana parti politik. Beliau mahu melihat reformasi dalam pentadbiran. Dalam mesyuarat Jemaah Menteri, beliau mendengar semua menteri dan isu melibatkan semua bangsa.
“Adalah tidak berasas untuk mendakwa bahawa memindahkan Mitra dari jabatan perdana menteri mewujudkan lebih banyak lapisan kelulusan bagi individu serta jabatan,” katanya kepada FMT, dengan menegaskan perdana menteri mudah didekati pada setiap masa.
Saraswathy berkata kedudukan Anwar sebagai presiden PKR dan beliau sendiri sebagai naib presiden parti utama dalam kerajaan memberikan kelebihan dalam menangani isu dihadapi masyarakat.
Beliau berkata pengkritiknya mungkin membuat dakwaan berdasarkan amalan terdahulu dalam Mitra apabila keputusan dibuat berkemungkinan bermotivasikan politik seterusnya membawa kepada masalah termasuk dakwaan rasuah.
“Mitra kini dikendalikan pihak berbeza dan saya jamin motif kami semata-mata mahu menaik taraf masyarakat India. Tiada ketirisan, dan hanya mereka yang layak akan menerima dana.
“Ia akan diuruskan hanya demi kepentingan rakyat, bukan pemilikan politik. Tiada keputusan yang akan dibuat berdasarkan kepentingan politik. Saya dan menteri akan membantu semua,” katanya.