
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar Masri Ibrahim berkata, mayat mangsa yang berusia 49 tahun itu ditemukan oleh orang awam di pesisir pantai pada 5.30 pagi.
“Mangsa yang berseluar pendek warna hitam ditemukan orang awam lebih kurang 5km dari lokasi dilaporkan hilang,” katanya menambah, mayat mangsa telah dikenal pasti oleh isterinya.
Mayat kemudian dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.
Semalam, Masri dilaporkan berkata, mangsa bersama anak lelakinya berusia 16 tahun dipukul ombak ketika beriadah di gigi air sebelum dihanyutkan dalam kejadian kira-kira 12.33 tengah hari.
Bagaimanapun remaja terbabit berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi.
Masri berkata, lokasi kejadian itu sebelum ini telah pun dikibarkan bendera merah sebagai amaran kepada pengunjung supaya tidak melakukan aktiviti di pantai berikutan faktor cuaca.