
Peguamnya Rafique Rashid berkata berdasarkan surat yang dihantar, pihaknya memohon pertimbangan SPRM supaya akaun Aman Palestin dinyahbekukan atas sebab dana itu perlu dihantar bagi kempen musim sejuk.
“Buat masa ini masih belum ada sebarang pemfailan kerana kami sedang menunggu maklum balas daripada SPRM. Buat masa ni belum ada apa-apa lagi,” katanya kepada FMT.
Pada 27 Nov lalu, Aman Palestin memberikan tempoh tiga hari kepada SPRM untuk menyahbeku akaun-akaun bank mereka atau berisiko berdepan tindakan undang-undang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika mengulas perkara itu berkata mereka tidak akan berbuat demikian dan bersedia membela diri di mahkamah.
SPRM telah membekukan 41 akaun bank milik Aman Palestin dan beberapa syarikat lain – membabitkan dana berjumlah RM15.8 juta – sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung dakwaan NGO itu menyeleweng sejumlah RM70 juta.
Siasatan itu melibatkan dakwaan bahawa Aman Palestin menyalurkan wang ke syarikat-syarikat tersebut.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla), serta Kanun Keseksaan.