
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan enam mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol di Paitan manakala 142 mangsa daripada 36 keluarga berlindung di Masjid Nur Iman di Sandakan.
“Lima kampung terjejas akibat bencana banjir di Paitan manakala satu kampung terjejas di Sandakan. Bilangan mangsa dijangka meningkat dan pemantauan sedang dilakukan terhadap situasi banjir di kawasan terjejas,” katanya menurut laporan Bernama.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan ribut petir dan hujan di satu atau dua tempat di Sabah, esok.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Kelantan dan Terengganu merekodkan peningkatan malam ini manakala bilangan mangsa di Pahang berkurangan.
Di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 15,994 orang daripada 4,967 keluarga di 86 PPS di lapan jajahan setakat 8 malam tadi berbanding 12,572 orang daripada 3,860 keluarga pagi tadi.
Menurut Sekretariat JPBN Kelantan, Pasir Puteh jajahan terbaharu terjejas banjir selepas Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Gua Musang, Kuala Krai, Machang dan Kota Bharu.
Di Pasir Mas, 31 PPS menempatkan 11,167 mangsa daripada 3,612 keluarga, 13 PPS di Tanah Merah (1,216 mangsa daripada 352 keluarga), sebuah PPS di Jeli (82 mangsa daripada 27 keluarga) dan tiga PPS di Gua Musang (74 mangsa daripada 17 keluarga).
Seramai 3,066 mangsa daripada 831 keluarga berteduh di 31 PPS di Kuala Krai, manakala 308 mangsa daripada 109 keluarga berlindung di lima PPS di Machang serta sebuah PPS di Pasir Puteh dan Kota Bharu masing-masing menempatkan 39 mangsa daripada lapan keluarga serta 42 mangsa daripada 11 keluarga.
Di Terengganu, seramai 10,258 mangsa daripada 2,871 keluarga ditempatkan di PPS melibatkan lapan daerah setakat 8 malam ini berbanding 8,808 mangsa daripada 2,402 keluarga pagi tadi.
Menurut Sekretariat JPBN Terengganu, seramai 3,351 mangsa daripada 995 keluarga ditempatkan di 29 PPS di Hulu Terengganu, manakala 2,640 mangsa daripada 717 keluarga berada di 31 PPS di Dungun.
Seramai 1,984 mangsa daripada 606 keluarga berlindung di 25 PPS di Setiu, manakala 1,044 mangsa daripada 218 keluarga ditempatkan di 15 PPS di Besut dan Kemaman pula mencatatkan 1,114 mangsa daripada 302 keluarga di sembilan PPS.
Di Kuala Nerus, 13 mangsa daripada tiga keluarga berlindung di dua PPS, di Marang pula 95 mangsa daripada 26 keluarga berteduh di dua PPS serta 17 mangsa daripada empat keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol di Kuala Terengganu.
Di Pahang, jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan malam ini apabila 333 individu daripada 82 keluarga ditempatkan di enam PPS di Raub dan Lipis berbanding 700 orang daripada 171 keluarga di 15 PPS pagi tadi.
Sekretariat JPBN Pahang memaklumkan 10 PPS ditutup petang tadi, masing-masing lima di Raub dan Lipis selepas banjir pulih.
Sehingga kini, 324 individu daripada 80 keluarga masih berlindung di lima PPS di Raub, manakala sembilan mangsa banjir daripada dua keluarga di sebuah PPS di Lipis.