
Perhimpunan anjuran Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) itu menyaksikan lebih 100 orang berarak dari Menara Tabung Haji di Jalan Tun Razak ke kedutaan itu.
Bagaimanapun, mereka dihalang polis kira-kira 200m dari Kedutaan AS.
Acara itu disokong 35 NGO, 15 pergerakan pelajar dan sayap Pemuda parti politik seperti PKR, Amanah dan PAS. Pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Muda turut serta.
“Desakan kami sangat mudah, (kami) mahukan gencatan senjata sekarang,” kata ahli kanan sekretariat, Tian Chua.
“Kenapa Kedutaan AS? Kerana AS menyediakan wang yang membolehkan pembunuhan besar-besaran diteruskan, dan mereka menyekat sebarang usaha oleh PBB untuk keamanan,” kata bekas naib presiden PKR itu.
Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda berkata perhimpunan itu bertujuan menghantar mesej solidariti rakyat Malaysia dengan perjuangan Palestin.
“Kita mahu menyampaikan mesej bahawa tiada seorang pun di negara kita menyokong atau bersimpati dengan AS dan Zionisme,” katanya.
Perhimpunan itu mendesak pembunuhan rakyat Palestin dihentikan; gencatan senjata segera, tetap dan tidak bersyarat; penamatan pertelingkahan bagi menangani keperluan mendesak orang awam di Gaza; dan pengiktirafan hak rakyat Palestin untuk negara berdaulat.
AS memveto draf resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mendesak gencatan senjata kemanusiaan di Gaza awal bulan ini. Minggu lalu pula, AS mengugut memveto satu lagi draf resolusi.
Ini memaksa Majlis Keselamatan PBB meminda resolusi itu dengan mendesak “tindakan segera” bagi bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, dan bukannya “gencatan senjata”.
AS kemudian bersetuju tidak memveto resolusi dipinda itu, yang kemudian diluluskan pada Jumaat.
Ambil tindakan jika langgar arahan
Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid berkata, polis bertanggungjawab memastikan ketenteraman awam dan keselamatan wakil asing di Malaysia.
“Tindakan akan diambil terhadap sesiapa yang melanggar arahan ini. Kami sudah menempatkan anggota kami untuk memastikan keselamatan kawasan ini dan kami meminta kerjasama semua pihak,” katanya sambil menasihatkan peserta tidak mendirikan khemah dekat kedutaaan seperti dirancang.
Walaupun bersimpati dengan nasib rakyat Palestin, katanya, polis juga bertanggungjawab memastikan keselamatan awam dan melindungi premis, harta benda dan wakil asing yang merupakan tetamu di Malaysia.
Setiausaha Agung Muda, Amir Hadi berkata mereka akan meneruskan rancangan mendirikan sehingga 10 khemah “sedekat mungkin dengan Kedutaan AS” dan sedia menghadapi sebarang kemungkinan dikenakan tindakan polis.
“Kami berharap kerajaan akan membenarkan kami berada di sini sehingga tamat program…Jika mereka mahu ambil tindakan, terpulang kepada mereka, tetapi kami akan cuba sedaya upaya kekal di sini sehingga 31 Dis.”