Malayan Flour, Dindings Poultry cabar denda RM70 juta MyCC

Malayan Flour, Dindings Poultry cabar denda RM70 juta MyCC

Syarikat itu antara lima pengeluar makanan ayam didenda hampir RM415.5 juta kerana membentuk kartel penetapan harga.

Suruhanjaya Persaingan Malaysia mengambil tindakan terhadap lima syarikat pengeluar makanan ayam mengikut Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.
KUALA LUMPUR:
Malayan Flour Mills Bhd dan syarikat usaha samanya, Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd, sedang berunding dengan penasihat undang-undang luar mereka untuk mencabar keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang mengenakan penalti RM70.02 juta atas dakwaan pelanggaran penetapan harga.

Kedua-dua syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, penemuan pelanggaran oleh MyCC itu adalah tanpa merit.

“Malayan Flour dan Dindings Poultry akan mengambil tindakan yang perlu dan sewajarnya untuk merayu keputusan itu dan memohon penangguhan keputusan itu untuk sementara waktu,” katanya.

Pada 22 Dis lepas, MyCC berkata ia mengenakan penalti hampir RM415.5 juta terhadap lima pengeluar makanan ayam kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) dengan membentuk kartel penetapan harga bagi makanan ayam.

“Syarikat itu ialah Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd, FFM Bhd, Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd, Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd,” katanya.

Suruhanjaya itu berkata penyiasatannya menemui bukti kenaikan harga makanan ayam yang sama dalam kalangan pihak-pihak tersebut dari Januari 2020 hingga Jun 2022, sebagai tambahan kepada penemuan bahawa lima syarikat tersebut telah menggunakan strategi untuk mencipta ilusi kenaikan kos makanan ayam akibat kenaikan kos bahan mentah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.