
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, Seksyen 30 Enakmen Jenayah (Syariah) Perak 1992 masih terpakai dan boleh digunakan untuk mendakwa individu melakukan perbuatan itu.
“Mengikut Seksyen 30(1), sesiapa yang memikat perempuan bersuami atau membawanya lari atau dengan apa-apa cara mempengaruhi beliau supaya meninggalkan rumah tangga yang ditentukan suaminya adalah bersalah.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan mahkamah hendaklah memerintahkan perempuan itu kembali kepada suaminya,” katanya kepada Bernama hari ini.
Pada 21 Dis lepas, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, individu melakukan kesalahan itu masih boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang jenayah syariah negeri itu.
Dianggap tidak berperlembagaan, Mahkamah Persekutuan pada 15 Dis lepas memansuhkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan selepas mendapati ia bercanggah Perlembagaan Persekutuan kerana mendiskriminasi secara tidak sah atas alasan jantina yang bertentangan Perkara 8(2).
Keputusan sebulat suara itu dibuat Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Mohamad Zabidin Mohd Diah serta Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Harmindar Singh Dhaliwal, Abu Bakar Jais dan Abdul Karim Abdul Jalil.
Panel itu membuat ketetapan berkenaan selepas membenarkan permohonan seorang ahli perniagaan merujuk persoalan berhubung perkara tersebut, iaitu sama ada Seksyen 498 tidak berperlembagaan kerana bercanggah Perkara 8(1)(2) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kesaksamaan di sisi undang-undang dan diskriminasi jantina.