Siasat ejen ambil pekerja, SPRM diberitahu susulan penahanan warga Bangladesh

Siasat ejen ambil pekerja, SPRM diberitahu susulan penahanan warga Bangladesh

R Sivarasa berkata, pihak berkuasa harus menyiasat bagaimana ejen-ejen terbabit mendapatkan kelulusan Imigresen untuk membawa masuk pekerja asing.

R Sivarasa berkata pekerja Bangladesh yang tiada pekerjaan hanyalah mangsa ejen yang memperdaya mereka.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa siasat ejen-ejen pengambilan pekerja yang didakwa tidak menyediakan pekerjaan kepada warga asing yang dibawa masuk, susulan penahanan 171 warga Bangladesh yang dilaporkan awal hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa, berkata badan antirasuah itu harus siasat bagaimana ejen-ejen ini berjaya dapat kelulusan daripada imigresen untuk kemasukan pekerja Bangladesh sedangkan tiada pekerjaan tersedia untuk mereka.

Sivarasa yang juga bekas timbalan menteri pembangunan luar bandar berkata, pekerja-pekerja Bangladesh itu mangsa ejen yang memperdaya mereka.

“Imigresen tidak seharusnya menganggap pekerja Bangladesh sebagai penjenayah yang melanggar undang-undang imigresen,” katanya di X.

“Sebaliknya, mereka harus iktiraf bahawa pekerja-pekerja ini terdiri daripada mangsa ejen yang memperdaya mereka untuk melanggar undang-undang.”

Awal hari ini dilaporkan polis menahan ratusan warga Bangladesh di Pengerang, Johor yang berjalan beramai-ramai untuk membuat laporan polis bahawa mereka tidak diberikan pekerjaan oleh ejen.

Ketua Polis Kota Tinggi, Hussin Zamora, berkata kumpulan warga asing itu berjalan kaki di kawasan depan simpang masuk Teluk Ramunia Bayu Damai untuk ke Balai Polis Bayu Damai bagi membuat laporan pada pagi Rabu lalu.

Hussin dilaporkan berkata, kumpulan warga asing itu, yang masuk dengan cara sah melalui ejen, dianggarkan sudah tiga hingga enam bulan tiada pekerjaan.

Kumpulan yang terdiri daripada 171 lelaki Bangladesh berusia antara 19 hingga 43 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen dan dihantar ke Jabatan Imigresen Setia Tropika di Johor Bahru.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.