KSM akan bantu warga Bangladesh adu tak diberi kerja

KSM akan bantu warga Bangladesh adu tak diberi kerja

Terdahulu, dilaporkan polis menahan 171 warga Bangladesh yang berjalan beramai-ramai untuk membuat laporan polis bahawa mereka tidak diberikan pekerjaan.

Menteri Steven Sim berkata perjumpaan akan diadakan dengan menteri dalam negeri untuk memperhalusi dan menambah baik dasar-dasar berkaitan pekerja migran. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Sumber Manusia akan bantu sekumpulan warga Bangladesh yang menurut polis dibawa masuk secara sah tetapi tidak diberi pekerjaan selama beberapa bulan.

Menteri Steven Sim memaklumkan kementerian akan memanggil agensi yang membawa mereka masuk dan majikan yang tertera pada dokumentasi mereka untuk siasatan lanjut minggu ini.

“Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bersalah,” katanya ketika dihubungi FMT.

Kementerian juga akan membantu warga Bangladesh terbabit mendapatkan pekerjaan.

“Tindakan ini dilaksanakan atas dasar kemanusiaan memandangkan perkara ini sebenarnya di luar bidang kuasa kementerian.”

Terdahulu, dilaporkan polis menahan 171 warga Bangladesh di Pengerang, Johor yang berjalan beramai-ramai untuk membuat laporan polis bahawa mereka tidak diberikan pekerjaan oleh ejen.

Kumpulan yang terdiri daripada 171 lelaki Bangladesh berusia antara 19 hingga 43 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen dan dihantar ke Jabatan Imigresen Setia Tropika di Johor Bahru.

Hari ini, bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia siasat ejen-ejen pengambilan pekerja yang didakwa tidak menyediakan pekerjaan kepada warga asing yang dibawa masuk.

Dalam pada itu, Steven Sim berkata perjumpaan akan diadakan dengan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk memperhalusi dan menambah baik dasar-dasar berkaitan pekerja migran.

“KSM juga akan kekalkan pembekuan permohonan kuota baharu bagi pekerja migran buat masa ini.

“Pengambilan tenaga kerja migran ialah untuk menyokong perniagaan tempatan yang perlu dan tidak harus dilihat sebagai satu perniagaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.