Harapan pelarian Chin di KL

Harapan pelarian Chin di KL

St Mary's Agape Mission School terus menjadi harapan buat pelarian Myanmar di Malaysia.

St Mary’s Agape Mission School di Kuala Lumpur menawarkan pendidikan dan sokongan emosi buat kanak-kanak pelarian Chin sejak 2014. (Afizi Ismail @ FMT Lifestyle)
KUALA LUMPUR:
Sejak sedekad lalu, St Mary’s Agape Mission School di Kuala Lumpur menjadi tempat perlindungan buat lebih 50 kanak-kanak pelarian dari negeri Chin di Myanmar.

Kebanyakannya yang berasal dari keluarga Kristian, melarikan diri dari negara mereka akibat penindasan agama.

Dr Tan Mei Ying, bekas pengamal perubatan yang kini ahli lembaga pengarah dan guru di sekolah terbabit, menjadi teras kejayaan pelajar.

Krismas mempunyai makna istimewa buat Tan, iaitu untuk menyayangi jiran dan golongan kurang bernasib baik.

Dr Tan Mei Ying merupakan tokoh penting di St Mary’s Agape Mission School. (Afizi Ismail @ FMT Lifestyle)

Dua puluh tahun selepas memperoleh ijazah perubatan dan menetap di United Kingdom, Tan tidak menyangka akan menjadi dermawan sehingga beliau berpindah ke Indonesia bersama keluarganya, di mana beliau mula mengajar di sebuah rumah anak yatim.

“Saya dapati tiada perkara begitu memuaskan atau menggembirakan seperti mengajar kanak-kanak dan melihat mereka seronok belajar sesuatu yang baharu,” katanya kepada FMT Lifestyle.

Sekembalinya ke Malaysia pada 2012, Tan fokus menjadi sukarelawan sepenuh masa di Gereja St Mary, Kuala Lumpur, di mana beliau mengambil alih sebuah sekolah pelarian Myanmar, yang juga permulaan perjalanannya bersama komuniti Chin.

Pelajar di sekolah ini mencapai kejayaan akademik secara konsisten hasil usaha Dr Tan Mei Ying dan sukarelawan lain. (Afizi Ismail @ FMT Lifestyle)

“Saya menyedari ramai kanak-kanak tidak belajar kerana tiada sukarelawan dan kurikulum tidak cukup baik.”

Hari ini, berkat usaha Tan dan sepasukan sukarelawan berdedikasi, sekolah ini menawarkan pendidikan berkualiti tinggi, buktinya ialah markah purata tahun ini 95.1%!

Ramai graduan sekolah ini sudah berpindah ke Amerika Syarikat dan menjadi ahli perniagaan serta profesional dalam pelbagai bidang.

Selain akademik, pelajar turut diberi peluang belajar muzik dan nyanyian.

“Kami menggunakan nyanyian bagi membantu mereka mempelajari bahasa Inggeris kerana ia membuatkan mereka menyebut dengan baik.

“Menyanyi bersama turut memecahkan halangan kerana kami mempunyai kanak-kanak daripada pelbagai suku kaum yang menutur bahasa berbeza.”

Projek Lametna yang membawa maksud harapan dalam bahasa Chin, memperkasa wanita melalui seni mengait. (Afizi Ismail @ FMT Lifestyle)

Pada 2018, sekolah ini memulakan perusahaan sosial berdasarkan seni mengait. Projek Lametna yang membawa maksud “harapan” dalam bahasa Chin bertujuan menawarkan peluang kepada pelarian wanita untuk meraih pendapatan.

Ramai remaja perempuan bersama ibu mereka belajar mengait dan menghasilkan produk berkualiti sehingga mempunyai pelanggan tetap.

“Mereka pada mulanya tidak tahu apa-apa mengenai perniagaan. Kini, mereka berbual mengenai pendapatan berbanding keuntungan. Saya sangat gembira melihat mereka menjadi individu berkemahiran dan berpendidikan.”

Menyentuh masa depan sekolah yang ditubuhkan pada 2014 ini, Tan berkata: “Harapan terbesar saya ialah kami tidak diperlukan lagi. Saya harap suatu hari nanti, tak perlu ada sekolah pelarian lagi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.