Dakwa ditipu ejen, ratusan warga Bangladesh jalan berkumpulan ditahan

Dakwa ditipu ejen, ratusan warga Bangladesh jalan berkumpulan ditahan

Polis berkata, warga asing itu mahu ke Balai Polis Bayu Damai membuat laporan kerana tidak diberikan pekerjaan oleh ejen.

Video tular menunjukkan kehadiran ratusan warga asing berjalan kaki dalam barisan panjang.
PETALING JAYA:
Polis menahan ratusan warga Bangladesh mendakwa tiada pekerjaan yang dirakam jalan beramai-ramai di Pengerang, Johor dalam video tular.

Ketua Polis Kota Tinggi, Hussin Zamora berkata, kumpulan warga asing itu berjalan kaki di kawasan depan simpang masuk Teluk Ramunia Bayu Damai untuk ke Balai Polis Bayu Damai membuat laporan pada pagi Rabu lalu kerana mendakwa ejen tidak memberikan pekerjaan.

Katanya, sepasukan polis dihantar ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut ke atas kumpulan warga asing itu susulan laporan Angkatan Tentera Malaysia.

“Mereka bukan pendatang asing tanpa izin kerana masuk melalui jalan sah melalui ejen pekerjaan. Dianggarkan sudah tiga hingga enam bulan mereka tidak dapat sebarang pekerjaan,” katanya menurut Sinar Harian.

Terdahulu, video tular satu minit 33 saat menunjukkan seorang pemandu kereta terkejut dengan kehadiran ratusan warga asing sedang berjalan kaki dalam barisan panjang.

Hussin berkata, pemeriksaan Jabatan Imigresen mendapati 171 lelaki Bangladesh itu berumur 19 hingga 43 tahun.

Katanya, mereka ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan semuanya dihantar ke Jabatan Imigresen Setia Tropika di Johor Bahru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.