
Siti Aisyah Mahzi, 11, ditemui lemas, manakala Nur Damia Qiasara Mohd Sabri masih hilang dalam kejadian 6.30 petang Ahad.
Mohd Sabri Mohd Noor, 33, bergegas ke lokasi kejadian dan terjun ke sungai mencari anaknya selepas dimaklumkan Nur Damia hilang.
Selepas setengah jam, beliau menemui rakan anaknya, Siti Aisyah dan membawanya ke tebing sungai.
“Hati saya tidak tenang memikirkan nasib anak yang belum ditemui.
“Saya dan isteri, Farah Adnan, 32, tidak meninggalkan lokasi kejadian dan setia menunggu anggota penyelamat untuk misi mencari anak saya hingga ke tengah malam.
“Kami tidak putus-putus berdoa semoga anak sulung kami segera ditemui, tidak kira dalam keadaan apa sekali pun,” katanya menurut Harian Metro di lokasi kejadian malam tadi.
Farah berkata, beliau menasihati anak sulung daripada tiga beradik itu tidak bermain air, selepas murid Tahun Lima itu memaklumkannya untuk keluar melihat banjir.
“Setahu saya, dia tidak pernah mandi di sungai ini. Saya reda dengan apa yang berlaku dan berdoa anak saya segera ditemui.
“Sebagai ibu, saya hanya mampu berdoa dan akan terus sabar menanti sehingga Nur Damia ditemui.”