Utama parti dan negara, bukan cita-cita peribadi, Khalid Samad ingatkan ahli Amanah

Utama parti dan negara, bukan cita-cita peribadi, Khalid Samad ingatkan ahli Amanah

Pengarah Komunikasi Amanah memberi peringatan itu selepas kesal dengan segelintir ahli yang membuat kritikan secara terbuka di media.

Khalid Samad berkata perpaduan dalam parti boleh dicapai jika ahli memberi tumpuan kepada matlamat utamanya dan bukannya menjadikan perjuangan dalam parti sebagai ‘kerjaya’.
KLANG:
Amanah mengingatkan perwakilan supaya mengutamakan kepentingan parti dan negara berbanding cita-cita peribadi.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad memberi peringatan itu selepas meluahkan rasa kecewa dengan segelintir ahli yang membuat kritikan secara terbuka di media termasuk melibatkan isu dalaman parti sehingga memberikan imej buruk.

Katanya, perpaduan dalam parti boleh dicapai jika ahli memberi tumpuan kepada matlamat utamanya dan bukannya menjadikan perjuangan dalam parti sebagai ‘kerjaya’.

“Perpaduan ini senang jika kita lebih pentingkan parti dan negara. Lebih dari kita pentingkan cita-cita kita sendiri.

“Saya kecewa bila ada bantahan, tapi tak puas hati bawa pergi media.  Maknanya bila bawa pergi media, maka kamu tak pentingkan kesan yang buruk dan negatif terhadap parti,” katanya di Konvensyen Nasional Amanah 2023 hari ini.

Pada 5 Dis lepas, terdapat satu laporan media menyatakan seorang pemimpin utama Amanah tidak menafikan terdapat kelompok tertentu sedang mengatur gerakan menukar kepimpinan sedia ada dengan teraju baharu pada pemilihan parti akan datang.

Bagaimanapun pada 10 Dis, Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof menafikan adanya perpecahan dalam parti itu susulan desas-desus pertukaran pucuk kepimpinan pada pemilihan Amanah.

Beliau berkata isu perpecahan tidak timbul berikutan kedudukan lima jawatan tertinggi termasuk presiden ditentukan secara konsensus oleh 27 pimpinan tertinggi yang akan dipilih oleh perwakilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.