
Beliau dipilih bagi sesi 2023-2026, oleh jawatankuasa 27 anggota yang terdiri daripada calon yang meraih undi terbanyak pada pemilihan hari ini.
Pemilihan petang tadi menyaksikan Mohamad meraih undi kelapan terbanyak daripada 98 calon yang bertanding, iaitu sebanyak 613 undi selepas 1,003 perwakilan selesai mengundi.
Speaker Azhar Shukur mengumumkan keputusan itu dicapai sebulat suara.
Perlembagaan Amanah mengehadkan jawatan presiden dipegang selama tiga penggal sahaja.
Sementara itu, jawatankuasa turut mengangkat Mujahid Yusof Rawa yang meraih undi keempat terbanyak sebagai timbalan presiden.
Dzulkefly Ahmad yang mengungguli persaingan dinamakan sebagai naib presiden, bersama Siti Mariah Mahmud dan Adly Zahari.
Mohamad, dalam ucapan selepas terpilih berpesan bahawa kekuatan Amanah bergantung pada pakatannya dengan parti-parti lain.
“Oleh itu pimpinan yang akan mewarisi sehingga pilihan raya akan datang mesti mencari jalan untuk kuatkan pakatan ini. Sebarang keretakan dalam pakatan ini akan membawa padah,” katanya Konvensyen Parti Amanah Nasional 2023.
“Sebab itu pakatan ini mesti diperkuatkan dan kita tahu pilihan raya akan datang bukanlah lama. Kita kena buat persediaan.”
Dalam pada itu, Mohamad akui beliau bukan calon yang dipilih secara popular, malah pada pemilihan pertama Amanah juga.
“Saya tahu saya banyak kelemahan,” katanya.
“Ramai lagi yang lebih popular. Syura melihat kelemahan saya dan dalam masa sama melihat kekuatan dari satu segi… jadi mereka minta saya terus pimpin.
“Sekali lagi pada tahun ini, saya tidak jadi pilihan nombor satu dan selepas mesyuarat turut menegur saya secara berdepan, akhirnya mereka buat keputusan seperti yang diumumkan tadi.”