
Pemangku Ketua Polis Gombak, Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata pihaknya sebelum itu menerima laporan polis daripada jiran mereka yang memaklumkan dia terdengar berlaku pergaduhan di rumah terbabit, kira-kira 11 pagi.
“Pada petang itu, pengadu turut mengatakan dia terdengar perbualan antara suami dan abang ipar jiran meminta tolong membantu menanam satu mayat.
“Siasatan awal polis telah menemukan satu mayat lelaki disyaki warga tempatan tanpa pengenalan diri ditanam dalam satu lubang dalam belukar.
“Mayat telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata motif kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa iaitu teman lelaki kepada adik perempuan salah seorang suspek yang masih bebas.
Bagaimanapun katanya, polis berjaya menahan dua lelaki berusia 29 dan 33 tahun serta seorang perempuan 32 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian itu.
“Siasatan awal mendapati tiga tangkapan awal yang dibuat ini tidak mengenali mangsa. Hanya dapat tahu mangsa mempunyai masalah dengan teman wanitanya yang merupakan adik perempuan salah seorang suspek yang masih bebas.
“Siasatan masih diteruskan dan usaha mengesan beberapa individu disyaki terlibat sedang dijalankan. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Puteri Noor Asiah Mohd Sharif di talian 012-6718024 atau Bilik Gerakan IPD Gombak 03-61262242,” katanya.