Hotel bajet, sederhana terjejas, hilang 80% pelanggan

Hotel bajet, sederhana terjejas, hilang 80% pelanggan

Penginapan Kediaman Jangka Pendek (STRA) menjadi punca utama, kata Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA).

Kurang kawal selia STRA, selain strategi harga agensi pelancongan dalam talian menjejaskan kemampanan hotel walaupun kehadiran pelancong meningkat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Hotel bajet dan sederhana masih bergelut susulan populariti Penginapan Kediaman Jangka Pendek (STRA), sehingga menjejaskan kadar tempahannya sejak tujuh tahun lalu.

Situasi berkenaan bertambah buruk selepas negara dilanda pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Sri Ganesh Michiel, berkata selain itu hotel juga terpaksa berdepan agensi pelancongan dalam talian (OTA) dalam strategi penetapan harga kompetitif.

Justeru, Ganesh berkata, hotel kehilangan 70-80% pelanggan kepada penyedia STRA. “Penurunan itu bermula sejak tujuh tahun lalu,” katanya kepada FMT Business.

Kaji selidik dilakukan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mendapati, pada 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda, jumlah penginapan hotel keseluruhan menurun 4.71%, berbanding tahun sebelumnya.

Keadaan itu berlaku walaupun secara keseluruhannya kedatangan pelancong meningkat dalam tempoh sama.

Ketua Pegawai Eksekutif MAH Isaac Raj, berkata kurang kawal selia STRA menjadikan mereka “mempunyai kelebihan tidak adil (terhadap hotel) dalam pasaran penginapan mampu milik”.

Katanya, penyedia STRA mampu menetapkan harga rendah dalam “persekitaran sensitif harga”.

“Ini mencetuskan persaingan harga dalam kalangan hotel bajet, sekali gus menjejaskan keseluruhan kemampanan perniagaan,” katanya.

Ganesh berkata, kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan daripada 6 kepada 8% tahun depan meningkatkan kos operasi sedia ada, dengan kebanyakan pengendali hotel terpaksa menawarkan STRA.

Sebelum ini, MyBHA mencadangkan nilai ambang cukai perkhidmatan bagi hotel bajet dan perniagaan ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM1.5 juta, namun industri belum mendapat maklum balas kerajaan.

MAH juga memohon Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengiktiraf usaha pengendali hotel memenuhi keperluan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan mengeluarkan sijil kemampanan atau label.

MAH juga turut menekankan cadangan untuk cukai pelancongan dikutip di pintu masuk demi memastikan mereka memilih STRA, tidak dikecualikan membayar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.