
Dalam video tular berdurasi 15 saat yang dikritik ramai, ia mempamerkan seorang pelajar perempuan membuat ‘catwalk’ di hadapan sekumpulan pelajar dan memberi ‘flying kiss’ kepada seorang murid lelaki ketika sesi ceramah membabitkan seorang pempengaruh media sosial.
Jabatan Pendidikan Johor telah mengambil tindakan untuk memantau semua program di sekolah selepas menerima aduan orang ramai.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) Mak Chee Kin berkata pihak sekolah perlu berhati-hati kerana tidak semua kandungan di media sosial sesuai untuk dijadikan kandungan ceramah kepada murid.
Katanya, keadaan itu tidak akan berlaku jika membabitkan penceramah berpengalaman yang mengambil tahu khalayaknya.
“Memang tidak sesuai untuk meminta pelajar membuat aksi sedemikian. Ada banyak aksi lain boleh menyampaikan mesej sama.
“Jelas pempengaruh itu tak bersedia dan terlepas pandang aspek penting ini,” katanya kepada FMT sambil meminta pendapat ibu bapa turut diambil sebelum mana-mana penceramah dijemput ke program di sekolah.
Pengerusi Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim turut senada sekolah perlu memainkan peranan lebih prihatin dalam isu menjemput orang luar kerana membabitkan kepentingan pelajar.

Walaupun beliau secara peribadi berpendapat tiada isu daripada aksi “flying kiss” itu kerana sekadar gurauan, Azimah tetap bersetuju pemeriksaan menyeluruh perlu dilakukan sebelum kelulusan diberi kepada mana-mana penceramah.
Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan kewujudan garis panduan oleh Kementerian Pendidikan berhubung tatacara dan proses menjemput orang luar untuk memberi ucapan di sekolah susulan pernah timbulnya isu sedemikian suatu ketika dahulu.
“Jika tiada, mungkin ia perlu diadakan,” katanya.