Subsidi bersasar: MyCC lebih agresif ‘perangi’ kartel tahun depan, kata menteri

Subsidi bersasar: MyCC lebih agresif ‘perangi’ kartel tahun depan, kata menteri

Armizan Ali berkata cabaran lebih besar tahun depan apabila kerajaan mula laksana penyasaran semula subsidi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Ali, berkata kewujudan kartel bagi manipulasi pasaran amat tidak wajar dan merugikan rakyat.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan bergerak lebih agresif ‘memerangi’ aktiviti kartel tahun depan susulan penyasaran semula subsidi, kata Armizan Ali.

Menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup berkata, isu kartel seperti lima syarikat didenda RM415.5 juta oleh MyCC semalam, bukan sekadar isu antipersaingan dan manipulasi pasaran, sebaliknya berkait kos sara hidup rakyat.

“Kartel ini adalah terbesar (dikesan) sejak MyCC ditubuhkan 2011. Demi kepentingan rakyat, kerajaan melalui KPDN dan MyCC bergerak lebih agresif…ini kerana cabaran akan lebih besar tahun hadapan apabila dilaksanakan penyasaran semula subsidi.

“Harga barang akan diapungkan dan akan dipengaruhi faktor penawaran dan permintaan. Kewujudan kartel dalam bentuk manipulasi dalam pasaran demi memaksimakan keuntungan industri adalah amat tidak wajar dan merugikan rakyat,” katanya menurut Bernama ketika bertemu pemberita di Papar, Sabah.

Semalam, media melaporkan MyCC mengenakan penalti sekitar RM415.5 juta kepada lima syarikat pengisar makanan ayam kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) melalui pembentukan kartel penetapan harga makanan ayam.

Armizan berkata, pihak kementerian khususnya MyCC akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan sebagai usaha mengekang kartel khususnya dalam tiga sektor utama iaitu makanan, pertanian, dan tipuan bidaan.

Mengulas kemungkinan tindakan terhadap kartel besar lain selepas ini, beliau berkata sememangnya siasatan sedang dijalankan terhadap “kartel tertentu” pada masa ini.

“Saya tidak dapat dedahkan perinciannya (kartel) kerana masih dalam siasatan tetapi boleh saya katakan ia melibatkan usaha kita mengekang kartel di tiga sektor utama itu. Jadi, syarikat dan peniaga di luar sana kita nasihatkan berniaga betul-betul, jangan susahkan rakyat dan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.