Mana strategi tangani kemerosotan PISA? ahli akademik tanya KPM

Mana strategi tangani kemerosotan PISA? ahli akademik tanya KPM

Othman Talib berkata Kementerian Pendidikan perlu berjiwa besar membuat perubahan segera.

Skor Pisa menunjukkan kedudukan Malaysia jatuh daripada 48 kepada 55. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketiadaan pengumuman strategi Kementerian Pendidikan (KPM) menangani kemerosotan prestasi Program Pendidikan Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 menimbulkan persoalan, kata ahli akademik.

Othman Talib, dari UCSI University hairan mengapa selepas lebih 10 hari keputusan menunjukkan kedudukan Malaysia jatuh kepada 55 daripada 48 diumumkan, KPM diketuai Fadhlina Sidek hanya memberi maklum balas ‘sedang memandang serius’.

Malah dakwanya bukan hanya isu PISA, malah banyak lagi masalah telah dibangkitkan seperti kurikulum padat dan membebankan belum diselesaikan KPM.

“Pernyataan ‘Semua masalah dan isu itu (PISA) telah kita tangani dan akan terus kita tangani’, adalah tidak benar jika merujuk kepada semua masalah ( mutu pendidikan negara merudum).

“Saya bimbang bukan semua, mungkin satu pun belum dapat diselesaikan,” katanya kepada FMT.

Othman Talib.

Othman berkata daripada terus memberi alasan penurunan kedudukan dalam PISA 2022 akibat Covid-19, Fadhlina dan pasukannya seharusnya mengumumkan kaedah penyelesaian untuk mengatasi masalah telah lama berlaku itu.

“Kenapa cuba mempertahankan kemerosotan sebenar daripada keputusan PISA 2022? Langsung tidak bernada akauntabiliti tetapi terus meletakkan kesalahan atas Covid-19,” soal Othman yang mahu KPM berjiwa besar membuat perubahan.

Skor PISA 2022 terkini menunjukkan bahawa pelajar Malaysia berusia 15 tahun mencatat skor menurun dari PISA 2018 iaitu 440 ke 409 dalam Matematik, 438 ke 416 dalam Sains. Dalam bacaan, pelajar Malaysia mendapat markah 388, turun daripada 415.

Hanya 1.2% pelajar cemerlang dalam Matematik dan hanya 0.5% menguasai Sains. Kurang daripada separuh, hanya 42% pandai membaca.

Kajian PISA berfungsi untuk mengukur kesediaan pelajar menjelang 15 tahun yang menerima pendidikan formal untuk menyediakan diri dengan keperluan pendidikan masa depan.

Pentaksiran itu berlangsung dari 17 April hingga 31 Mei 2022 di 199 sekolah, termasuk sekolah swasta.

Singapura menduduki tempat teratas dalam ketiga-tiga literasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.