
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata tindakan itu sehingga menyukarkan kerajaan mengawal harga ayam di pasaran.
“Apabila berlaku kartel atau pakatan untuk mengawal harga makanan ayam, maka harga ayam itu susah untuk dikawal.
“Bagi saya, ini pengkhianatan kepada negara peringkat paling tinggi dari segi undang-undang,” katanya, lapor Berita Harian.
Sementara itu, Bernama memetik Fuziah sebagai berkata kerajaan mengeluarkan subsidi berjumlah RM3.8 bilion bagi menampung kos ayam dan telur dari Februari 2022 hingga November lepas, manakala 72.8% kos pengeluaran ayam adalah kos harga makanan.
“Pengusaha sukar mendapatkan harga makanan lebih murah,” katanya.
“Itu yang menyebabkan kita menerima banyak aduan kerana ada peniaga yang mengambil upah potong memandangkan harga ayam yang dibekalkan tidak boleh membuat keuntungan.”
Semalam lima syarikat dikenakan penalti bernilai RM415.5 juta selepas didapati bersalah menetap dan menyeragamkan secara bersama harga produk mereka, bagi ayam untuk pasaran tempatan.
Syarikat itu ialah Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (Dindings), FFM Berhad (FFM), Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd (Gold Coin), Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd (Leong Hup) dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd (PK Agro).
Lima daripada 29 syarikat pengeluar makanan haiwan ternakan itu dianggarkan menguasai sehingga 40% pasaran makanan ternakan ayam.
MyCC dalam keputusannya berkata mereka didapati melanggar Seksyen 4(1) Akta Persaingan kerana membuat perjanjian mendatar atau menegak dilarang antara perusahaan, dengan matlamat atau kesan menghalang, menyekat, atau mengganggu persaingan secara signifikan dalam apa-apa pasaran barang atau perkhidmatan.