
Anwar Ibrahim berkata siasatan badan anti rasuah itu membuktikan mereka menjalankan siasatan tanpa mengira latar belakang dan kedudukan seseorang.
“Jadi itu tanggungjawab SPRM jalankan tugas siasatan dan jangan buat tafsiran.
“Setiap kali kita sentuh orang besar maknanya ada muslihat. Kalau orang kecil ribuan kita sentuh tidak ada apa-apa.

“SPRM menjalankan tugasnya tidak mengira kedudukan, sebab itu saya sebut Tun ke atau Tan Sri, kalau tidak nanti ada kritikan kata ikan kecil ditangkap tetapi kepala tidak boleh disentuh,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Kota Damansara.
Beliau berkata semua pihak seharusnya memberikan ruang untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan untuk menentukan kebenaran.
“Biarlah siasatan dibuat. Ia rahsia umum. Seorang yang menggondol kekayaan begitu besar, biarlah ada siasatan,” katanya yang menegaskan kerajaan pimpinannya komited membanteras rasuah.
Semalam, media melaporkan bangunan Menara Ilham di Kuala Lumpur disita SPRM kerana dipercayai berkait siasatan rasuah dan penyelewengan.
Notis penyitaan turut dikeluarkan oleh timbalan pendakwa raya SPRM di bawah Seksyen 38(1) Akta SPRM.
Seksyen tersebut membolehkan suatu harta tak alih disita sekiranya pendakwa raya berpuas hati bahawa ia ialah hal perkara suatu kesalahan bawah Akta SPRM, atau keterangan pelakuan kesalahan itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilapor mengesahkan penyitaan itu.