Audio siar Rafizi pendekatan tak konvensional, risiko ‘masuk perangkap’

Audio siar Rafizi pendekatan tak konvensional, risiko ‘masuk perangkap’

Penganalisis berpandangan menteri ekonomi akan 'diperangkap cybertrooper', namun Jeniri Amir berkata usaha tidak konvensional itu membantu kerajaan berdepan pengkritik bersemuka.

Penganalisis politik berbeza pandangan terhadap usaha Rafizi Ramli bersemuka dengan ‘cybertrooper’ dengan ada mencadangkan menteri ekonomi itu berdebat dengan pemimpin pembangkang sahaja. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lebih baik bagi Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berdebat soal dasar bersama pemimpin pembangkang bagi mengekalkan kredibilitinya, berbanding menjadi hos audio siar berdepan laskar siber atau cybertrooper.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia, berkata debat awam antara Rafizi dengan menteri bayangan pembangkang, atau mana-mana pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai pengetahuan ekonomi akan memberi lebih manfaat berhubung hala tuju ekonomi kerajaan.

Katanya, dengan berdebat bersama pemimpin, pengundi boleh mendengar dan menilai idea dibentangkan dua pihak itu memandangkan debat awam merupakan medium konstruktif demi kepentingan negara.

“Mengadakan audio siar dengan ‘cybertrooper’ PN akan mendedahkan Rafizi kepada banyak risiko, termasuk persoalan daripada orang awam, persekitaran yang tidak terkawal, dan kemungkinan masuk dalam perangkap,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya memutuskan naratif ekonomi negara berbanding memberi perhatian kepada dakwaan tidak berasas “cybertrooper”.

Pada Isnin, Rafizi mengumumkan akan menjadi hos dalam audio siar “Yang Bakar Menteri (YBM)” yang bersiaran setiap dua minggu bermula 8 Jan 2024, justeru memberi peluang kepada sesiapa sahaja bersemuka dengannya.

Beliau berkata, audio siar itu terbuka termasuk ahli akademik, penyokong kerajaan, rakyat biasa, terutamanya aktivis maya pembangkang.

Rafizi yang juga timbalan presiden PKR, berkata beliau akan “mencari aktivis-aktivis maya pembangkang yang banyak memainkan dakyah untuk tampil”.

Dalam pada itu, Felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir berkata, keputusan Rafizi menjadi hos audio siar bertepatan bagi menjawab dakwaan tidak berasas terhadap kerajaan, mengambil kira beliau mempunyai kefahaman dan kemahiran berdebat.

Katanya, pendekatan tidak konvensional diperkenal Rafizi akan membantu kerajaan berdepan pengkritik bersemuka, sambil menjawab dakwaan dikemukakan bersama sokongan data, fakta, dan bukti.

“Saya fikir salah satu masalah yang timbul sebelum ini adalah seolah-olah (perdana menteri) Anwar Ibrahim sahaja berusaha memberi penjelasan (menjawab tohmahan).

“Beliau (Rafizi) berupaya melakukannya ini bukan sahaja melonjakkan integriti beliau sebagai menteri, tapi akhirnya akan dapat membantu meningkatkan imej kerajaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.