Amanah guna ‘rahmatan lil alamin’ lawan fitnah PAS, kata Mujahid

Amanah guna ‘rahmatan lil alamin’ lawan fitnah PAS, kata Mujahid

Mujahid Yusof berkata partinya tidak mahu amal langkah populis seperti PAS yang didakwa penuh dengan pembohongan.

Mujahid Yusof mendakwa PAS sering mengelirukan rakyat dan sering menunjukkan seolah-olah hanya parti itu memperjuangkan Islam.
PETALING JAYA:
Amanah enggan mengikut jejak langkah PAS mengamalkan sikap populis yang didakwa naib presidennya Mujahid Yusof penuh dengan fitnah dan tidak beretika bagi mempengaruhi pengundi Melayu Islam.

Bercakap kepada FMT, bekas menteri persekutuan itu menegaskan Amanah kekal membawa nilai positif sesuai masyarakat majmuk negara antaranya konsep ‘rahmatan lil alamin’, kasih sayang antara satu sama lain dan mencintai persekitaran.

Mengakui perjuangan dibawanya mungkin mengambil masa diterima rakyat terutama orang Islam Melayu, Mujahid berkata sesebuah parti perlu bertanggungjawab dan mengelakkan masyarakat keliru.

“PAS dengan cara populisnya cuba tunjukkan seolah-olah hanya parti itu perjuangkan Islam dalam negara walaupun penuh fitnah, mereka juga tak beradab dengan memainkan isu mahkamah syariah, isu nik Elin (cabaran enakmen syariah Kelantan) dan Jill Ireland (kalimah Allah).

“Itulah nyawa PAS untuk hidup dan jadi populis,” katanya mengulas mengapa Amanah tidak membawa isu populis dan naratif membabitkan orang Melayu Islam seperti PAS yang mencapai keputusan baik pada PRU15 dan PRN enam negeri.

“Amanah akan lawan PAS dengan rahmatan lil alamin, kami akan teruskan cita-cita ini.”

Untuk rekod, PAS bawah Perikatan Nasional (PN) menang 43 kerusi Parlimen pada PRU15– pencapaian terbaiknya sejak menyertai pilihan raya yang dilabel ramai sebagai “gelombang hijau” kerana penguasaan terutama di kerusi majoriti pengundi Melayu dan Islam.

PAS juga mengekalkan pentadbiran di Kedah, Kelantan dan Terengganu selain merampas Perlis yang sekian lama menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Amanah yang bertanding di bawah logo Pakatan Harapan (PH) pula merosot apabila hanya menang lapan Parlimen pada PRU15, turut menyaksikan Mujahid gagal mempertahankan kerusi Parit Buntar.

Menyentuh kerjasama dengan Umno sejak setahun lalu, Mujahid mengakui masih ada sindrom ‘malu-malu kucing’ di antara mereka terutama di peringkat akar umbi apabila tidak bersungguh-sungguh menjalankan program bersama di kawasan masing-masing.

“Malu-malu kucing ini kita kena hindari masalah ini, harus buat program turun ke bawah.

“Bukan semua program tak bersama tapi banyak tempat tunggu arahan…maklumlah tak pernah duduk sekali dan dahulu bergaduh. Perlu ada bimbingan lagi (untuk kukuhkan hubungan),” katanya.

Susulan Parlimen tergantung pasca PRU15, PH dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan perpaduan bersama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan beberapa kecil lain.

Gabungan itu turut bekerjasama pada PRN enam negeri dan PRK.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.