
Shad Saleem Faruqi berkata, sebarang penemuan bahan api fosil atau mineral lain oleh negeri di dalam sempadan mereka boleh mencetuskan desakan supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membolehkan negeri-negeri mengenakan cukai sendiri.
“Setiap negeri (di Semenanjung) akan menyoal kenapa (cuma) Pulau Pinang? Jadi saya fikir ini akan mencetuskan desakan hebat untuk pindaan perlembagaan.

“Ia akan mencetuskan (desakan) untuk perlembagaan baharu, dan saya tidak fikir ini masa yang sesuai (untuk perkara itu),” katanya kepada FMT.
Bulan lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, negerinya mungkin mempertimbang mencontohi Sarawak dengan mengenakan cukai terhadap produk petroleum jika minyak ditemui di perairannya. Mengikut perlembagaan, hanya Sabah dan Sarawak mempunyai hak mengenakan cukai itu, seiring Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Cadangan itu ditolak ketua menteri terdahulu, Lim Guan Eng yang melihat Pulau Pinang tiada kuasa untuk mengenakan cukai itu di bawah perlembagaan. Susulan itu, Chow berkata beliau berminat meneruskan perancangan mendapatkan royalti minyak walaupun wujud halangan dari segi undang-undang.
Shad berkata, Putrajaya berkemungkinan meminta Pulau Pinang menangguhkan perancangan itu memandangkan masih dalam proses memenuhi tuntutan Sabah dan Sarawak mengikut MA63.
“Saya tidak fikir masa ini sesuai, melainkan sasarannya untuk mendapatkan sistem persekutuan baharu.
“Saya tidak menentang idea bahawa negeri-negeri mendapat sebahagian harta mereka. Saya tidak fikir sesiapapun akan menentang idea itu. Namun pada masa sama, Perlembagaan Persekutuan wujud, dan kita tidak boleh hanya menukarkannya untuk satu negeri dan bukan yang lain,” katanya.
Seorang lagi peguam pakar cukai, William Wong berkata, perlembagaan memberikan “kuasa khas” kepada kedua-dua negeri Malaysia Timur untuk menggubal undang-undang bagi mengenakan cukai jualan.
Wong berkata, pertikaian undang-undang antara Petronas dan Sarawak pada 2019 diputuskan tanpa perbincangan terhadap skop khusus cukai petroleum diberikan kepada negeri-negeri di Borneo, seterusnya isu itu tidak diselesaikan mahkamah.

Mahkamah Tinggi Kuching pada 2020 menolak cabaran semakan kehakiman terhadap Ordinan Cukai Jualan Sarawak 1998, dan memerintahkan syarikat petroleum kebangsaan itu membayar RM1.3 bilion kepada negeri berkenaan bagi cukai jualan atas produk petroleum.
Wong berkata, walaupun Petronas mengakui Sarawak mempunyai kuasa untuk meluluskan ordinan cukai, syarikat berkenaan turut menghujahkan bahawa produk petroleum jatuh bawah bidang kuasa eksklusif senarai persekutuan.
“Keputusan Mahkamah Tinggi itu mengesahkan kesahihan ordinan berkenaan, tetapi tidak secara jelas menyatakan sama ada produk petroleum boleh dikenakan cukai jualan negeri.”