MRT3: Proses pengambilan tanah secara berperingkat tahun depan

MRT3: Proses pengambilan tanah secara berperingkat tahun depan

Kerajaan telah meluluskan peruntukan bagi proses pengambilan tanah jajaran bagi projek MRT3, kata menteri pengangkutan.

Kerajaan akan mengambil pendekatan yang memastikan kesan sosial minimum kepada masyarakat dalam hal pengambilan tanah bagi MRT3.
PUTRAJAYA:
MRT Corp akan memulakan proses pengambilan tanah secara berperingkat mulai 2024 bagi Projek Laluan Lingkaran Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang dijangka mengambil masa dua tahun untuk dimuktamad, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Bercakap pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan antara MRT Corp dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP), beliau berkata bagi meminimumkan kos pengambilan tanah kepada kerajaan, MRT Corp secara aktif bekerjasama dengan pemaju untuk menyepadukan stesen MRT3.

“Kerajaan telah meluluskan peruntukan bagi proses pengambilan tanah jajaran bagi projek MRT3.

“Pendekatan kami terhadap proses pengambilalihan tanah akan menggabungkan langkah yang berhemah dan penuh ihsan untuk memastikan kesan sosial minimum kepada masyarakat,” katanya.

Tanpa memperinci jumlah peruntukan bagi tujuan itu, Loke berkata proses pengambilalihan dijangka membabitkan sejumlah 1,012 lot meliputi tanah persendirian (842 lot), tanah kerajaan (133), dan tanah tidak diketahui (37).

“Seperti yang kita katakan, ada mekanisme untuk minimumkan kos kepada kerajaan dan kita juga terbuka untuk berbincang dengan pemilik tanah,” katanya sambil menambah jajaran bagi MRT3 belum dimuktamad.

Mengenai perjanjian pajakan itu, Loke berkata kepentingan kerajaan menerusi PTP dan MRT Corp akan kekal terjamin khususnya dalam memastikan kawal selia serta pengurusan aset lebih cekap, selain pemantauan kawasan rizab di sepanjang jajaran MRT dapat dilaksanakan dengan baik.

“Ini membolehkan pihak MRT Corp melaksanakan pembangunan sampingan yang memberikan pulangan komersial dan membolehkan penyediaan fasiliti awam di kawasan stesen MRT dapat dimanfaatkan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Loke bersama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad menyaksikan majlis menandatangani perjanjian yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain serta Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim.

Perjanjian itu bagi laluan sedia ada iaitu Jajaran MRT Laluan Kajang dan Putrajaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.