
Beliau bagaimanapun berkata, kesan keputusan itu terhadap Malaysia dari segi perdagangan masih terkawal.
“Berhubung tindakan kita mengharamkan kapal Israel masuk ke negara ini mungkin ada risiko dalam soal perdagangan,” katanya pada program dialog mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim.
Menurutnya, beliau telah membincangkan perkara itu dengan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, menurut laporan Utusan Malaysia.
“Mereka kata setakat ini kita masih boleh kawal, mungkin kita rugi sedikit sebab kapal tak masuk.
“Tetapi ini dia adalah prinsip kemanusiaan kita,” katanya.
Anwar semalam berkata Malaysia yakin keputusan tersebut tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan.
Malaysia juga melarang kapal yang menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan negara ini.
Pada 2005, Anwar berkata Jemaah Menteri ketika itu membenarkan ZIM mendarat di Malaysia. Bagaimanapun, katanya, Putrajaya telah memutuskan membatalkan semua keputusan kerajaan lalu berhubung isu itu.
“Sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan
terhadap warga Palestin,” katanya.