Keluarga Altantuya mahu selesai kes dengan kerajaan

Keluarga Altantuya mahu selesai kes dengan kerajaan

Suatu cadangan penyelesaian dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara awal bulan ini, kata sumber.

Mahkamah pada 16 Dis tahun lepas memerintahkan kerajaan dan tiga defendan lain membayar kepada keluarga Altantuya ganti rugi RM5 juta. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Keluarga Altantuya Shaariibuu dikatakan meneroka kemungkinan penyelesaian berbentuk kewangan dengan kerajaan, bagi menyelesaikan kes berkaitan kematian wanita warga Mongolia itu.

Sumber memaklumkan bahawa peguamcara mewakili keluarga tersebut, Karpal Singh & Co, mengemukakan suatu cadangan penyelesaian kepada Jabatan Peguam Negara pada awal bulan ini.

“Ini termasuk faedah yang mesti dibayar dan kos,” kata sumber itu kepada FMT.

FMT sedang mendapatkan respon Sangeet Kaur Deo, peguam yang tampil untuk keluarga itu dalam prosiding di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Tinggi pada 16 Dis tahun lepas memerintahkan kerajaan dan tiga defendan lain membayar kepada keluarga Altantuya ganti rugi RM5 juta.

Bapa Altantuya, Shaariibuu Setev dan isteri, Altantsetseg Sanjaa; dan anak mendiang, Mungunshagai, memfailkan saman pada 2007 dan mendakwa ada konspirasi sekitar pembunuhan wanita itu dan menuntut ganti rugi RM100 juta.

Tiga defendan lain itu adalah penganalisis politik Razak Baginda, dan bekas pegawai polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar.

Kerajaan dan Razak pada 12 Jan lepas memfailkan notis rayuan terhadap liabiliti dan kuantum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.