500,000 budak bawah 5 tahun bantut isu serius, kata senator

500,000 budak bawah 5 tahun bantut isu serius, kata senator

Dr RA Lingeswaran berkata, jika ini tidak ditangani keadaan itu akan membawa kepada fenomena ‘miskin pendidikan’.

Pembesaran terbantut dan berat badan rendah ketika zaman formatif kanak-kanak akan menjejaskan perkembangan otak mereka.
PETALING JAYA:
Kira-kira setengah juta kanak-kanak berusia bawah lima tahun di Malaysia diklasifikasikan sebagai bantut, iaitu masalah yang tidak sepatutnya berlaku di negara maju, menurut seorang senator kerajaan perpaduan.

Dr RA Lingeswaran berkata beliau terkejut apabila dimaklumkan Kementerian Kesihatan dalam jawapan bertulis bahawa terdapat 498,327 kanak-kanak yang mengalami keadaan itu, khususnya disebabkan keadaan sosioekonomi mereka.

Lingeswaran berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku di Malaysia.

Dr RA Lingeswaran.

“Ini mewakili 21% kumpulan penduduk berkenaan dan memang membimbangkan, terutama di negara yang terkenal dengan penjagaan kesihatan baik serta limpahan makanan.

“Saya gesa semua orang memandang serius isu ini kerana kita semua maklum bahawa pembantutan dan berat badan rendah ketika zaman formatif kanak-kanak akan menjejaskan perkembangan otak mereka. Ini seterusnya membawa kepada fenomena dikenali sebagai kemiskinan pendidikan,” katanya kepada FMT.

Kemiskinan pendidikan adalah proses pengehadan hak kanak-kanak terhadap pendidikan, dan merampas peluang mereka untuk belajar serta mengembangkan kemahiran diperlukan untuk hidup dalam masyarakat yang besar berubah.

Lingeswaran, bekas pengarah hospital Sungai Bakap, berkata Pahang mempunyai paling ramai kanak-kanak dalam kategori ini dengan hampir satu dalam dua menghadapi masalah berkenaan.

Menurut jawapan berkenaan, ini disusuli Kedah, Kuala Lumpur dan Putrajaya (masing-masing 24.3%), Sabah serta Labuan (23.8%), dan Melaka (22.9%).

“Tiga negeri yang paling rendah peratusan bantut, iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak sekalipun menunjukkan kadar antara 10% hingga 15%.

“Ini sesuatu yang perlu diteliti semua pihak berkuasa negeri, dan bukan sekadar lepas tangan kepada pihak berkuasa persekutuan,” katanya.

Lingeswaran berkata, antara sebab diberikan kementerian itu termasuk tabiat pemakanan tidak baik dalam kalangan ibu mengandung yang mengakibatkan bayi dilahirkan di bawah berat 2.5kg, selain mereka dari keluarga miskin yang sama ada tiada pekerjaan atau berpendapatan rendah.

“Sebab lain termasuk memberikan bayi makanan pepejal terlalu awal, dan tidak memastikan mereka mendapat makanan berkhasiat. Mereka juga tidak mendapat protein haiwan mencukupi yang dapat membantu pembesaran,” katanya.

Kementerian itu berkata, masalah pembantutan juga disebabkan ibu dengan ketinggian kurang 1.5m atau bapa kurang daripada 1.6m.

Lingeswaran berkata, pelbagai program advokasi dan intervensi makanan dilaksanakan kementerian untuk menangani isu itu, tetapi usaha lebih menyeluruh oleh pihak berkuasa persekutuan dan negeri masih diperlukan untuk menyelesaikannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.