
Aktivis pengguna siber, Siraj Jalil, berkata satu isu penting adalah bagaimana kanak-kanak mudah mengakses kandungan hiburan di internet menggunakan telefon bimbit, tanpa mengetahui apa yang buruk atau baik.
“Mereka bergantung kepada ibu bapa untuk memantau mereka, tetapi ibu bapa juga kurang kawalan atau kesedaran mengenai apa dilakukan anak mereka dalam talian.
“Jadi kanak-kanak perlu dididik dari usia awal mengenai penggunaan internet. Ini boleh dilakukan dengan mewujudkan sukatan pelajaran celik digital, atau sekadar merangkumkannya dalam sukatan pelajar sedia ada,” katanya kepada FMT.
Katanya, ini adalah penyelesaian jangka panjang lebih baik daripada hanya menyasarkan satu platform dalam talian seperti YouTube, memandangkan kanak-kanak mungkin terdedah kepada kandungan lucah di platform media sosial.
Dalam hantaran di media sosial, guru berkenaan mendakwa beliau mendapati murid mudah mengakses kandungan lucah selepas kanak-kanak itu menunjukkan “aksi lucah” dalam bilik darjah.
Beliau kemudian menyerahkan telefon pintarnya kepada murid itu dan memintanya menunjukkan apa ditonton di YouTube. Guru itu turut terkejut kerana kebanyakan murid dalam kelas itu masih belum pandai membaca atau mengeja.
Susulan itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan menemui pihak Google minggu bagi membincangkan isu itu. YouTube dimiliki Google.
Beberapa pengguna internet bagaimanapun menganggap kesilapan lebih terletak di bahu ibu bapa malah mengkritik Fahmi menemui Google dan bukannya berbincang dengan ibu bapa murid terbabit.
Aktivis keselamatan siber, Aaron Mokhtar, berkata kemungkinan apa ditonton kanak-kanak itu di YouTube sekadar bersifat “soft porn” iaitu kandungan lucah yang tidak secara eksplisit berunsur seksual.
“Ada kandungan ‘soft porn’ yang kadangkala ‘terlepas’ kerana orang yang berkongsinya bijak mengatasi algoritma,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mempertahankan tindakan Fahmi kerana berpendapat tidak salah menteri itu menemui pihak Google jika mahu lebih memahami algoritma berkenaan.
“Google tegas mengenai apa yang dimuat naik ke YouTube. Saya pasti Google menghargai sebarang maklum balas kerana penting untuk memastikan penjenamaan pengiklan tidak terjejas atau dipautkan dengan kandungan lucah.”
Aaron berkata, penyelesaian terbaik adalah untuk ibu bapa memantau ketat aktiviti anak mereka di internet.