Tetak rakan sampai mati, nelayan Myanmar dipenjara 32 tahun, 12 sebatan

Tetak rakan sampai mati, nelayan Myanmar dipenjara 32 tahun, 12 sebatan

Mahkamah Tinggi turut menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap tertuduh atas tuduhan cuba membunuh seorang lagi rakannya.

Nai San Thein mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Ipoh atas tuduhan menetak kepala rakannya menggunakan parang hingga mati dan cuba membunuh seorang lagi rakan di atas sebuah bot pada 2020. (Bernama)
IPOH:
Seorang nelayan warga Myanmar dihukum penjara 36 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh rakan senegara dan cuba membunuh seorang lagi rakannya, tiga tahun lalu.

Hakim Abdul Wahab Mohamed menjatuhi hukuman itu ke atas Nai San Thein, 38, setelah dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.

Nai dijatuhi hukuman penjara 32 tahun dan 12 sebatan bagi pertuduhan membunuh Myint Soe dengan menetak kepalanya menggunakan parang di atas sebuah bot di tepi Sungai Sumun Perak di Bagan Datuk, antara 11 pagi hingga 11.45 pagi, 6 April 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan minimum 12 sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa cuba membunuh San Thien di tempat dan masa yang sama, dan dia dihukum penjara empat tahun.

Pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Hakim bagaimanapun memerintahkan Nai menjalani hukuman penjara itu serentak bermula dari tarikh ditahan iaitu pada 6 April 2020.

Semasa memohon hukuman ringan, peguam Ranjit Singh memohon agar anak guamnya dikecualikan daripada hukuman gantung kerana kejadian itu berlaku disebabkan provokasi oleh si mati yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap keluarga tertuduh.

Selain itu, katanya tertuduh yang menanggung isteri dan seorang anak lelaki berusia 13 tahun, juga tidak mempunyai rekod jenayah dan pengakuan bersalahnya itu telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

“Tertuduh juga kesal dengan kejadian berkenaan dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu. Saya mohon supaya penjara minimum dikenakan dan hukuman penjara dijalankan mulai tarikh ditangkap,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saifulakmal Mod Said.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.