
Dr Azizan Abdul Aziz, presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, kebanyakan orang dijangkiti virus itu hanya menunjukkan gejala ringan dan sembuh selepas mendapat rehat dan ubat sewajarnya.
“(Jadi) tiada keperluan mewajibkan pengambilan suntikan dos penggalak,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, katanya, golongan berisiko tinggi wajar mengambil suntikan penggalak seperti dicadangkan, kerana lebih berisiko mengalami gejala Covid-19 teruk sehingga perlu dimasukkan ke hospital atau membawa maut.
Azizan turut menasihatkan individu berisiko tinggi memakai pelitup muka di tempat sesak atau kawasan awam yang tidak mempunyai pengudaraan baik.
Selain itu, beliau menasihatkan golongan itu mengamalkan kebersihan diri yang baik dan mengambil ujian kendiri kerana sekadar mengambil dos penggalak mungkin tidak cukup untuk menghalang jangkitan.
Katanya, secara umum orang ramai patut mengamalkan gaya hidup sihat.
“Pemakanan seimbang, rehat mencukupi setiap hari, senaman kerap dan pendedahan kepada cahaya matahari bagi menguatkan sistem imun dan mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19,” katanya.
Dr Tharani Loganathan dari Universiti Malaya, dan Azrul Khalib dari Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial senada bersetuju vaksinasi perlu kekal sebagai pilihan dan diambil secara sukarela.
Azrul berkata, tiada keperluan untuk memperkenalkan semula arahan kuarantin tegas seperti dikenakan sebelum ini.
“Kita anggap ini sebagai penyakit endemik dan hidup dengannya, sama seperti influenza dan penyakit respiratori lain,” katanya.
Tharani pula berkata, Putrajaya wajar memperoleh vaksin Covid-19 terkini dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) patut membenarkan vaksin berkenaan memasuki pasaran serta boleh diperoleh menerusi sektor swasta.
Minggu lalu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kementeriannya mungkin akan mengeluarkan arahan baharu bagi suntikan penggalak Covid-19, khususnya bagi golongan yang lebih rentan terhadap komplikasi virus itu.
Dzulkefly berkata kadar pengambilan dos penggalak kedua vaksin Covid-19 ialah 54%, manakala kadar untuk dos ketiga “agak rendah”.