Pengasas RHB dilantik pengerusi baharu Lembaga TH

Pengasas RHB dilantik pengerusi baharu Lembaga TH

Pelantikan tokoh perniagaan itu berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Azman Mokhtar.

Tokoh perniagaan dan pengasas kumpulan perbankan terkemuka RHB, Abdul Rashid Hussain dilantik sebagai pengerusi Lembaga Tabung Haji yang baharu. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Abdul Rashid Hussain, tokoh perniagaan dan pengasas kumpulan perbankan terkemuka RHB, dilantik sebagai pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Mengumumkan pelantikan itu dalam satu kenyataan hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mohktar, berkata Rashid dilantik bagi menggantikan Azman Mokhtar.

“Sesungguhnya pengalaman luas sebagai seorang tokoh korporat amat berharga dalam meneruskan kecemerlangan TH sebagai institusi pengurusan haji bertaraf dunia di samping membantu dalam memacu usaha pengukuhan yang sedang dan terus berjalan,” katanya.

Rashid, yang kini merupakan Ahli Lembaga Gabenor Universiti Islam Antarabangsa, pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Nasional Bhd dari 1994 hingga 1998 dan Pengerusi Putrajaya Holdings (1995 hingga 2000).

Beliau turut diangkat sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H/2023M atas sumbangan kepada negara dan masyarakat

Rashid juga adalah antara enam ahli Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) TH yang dilantik Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Selain itu, Na’im berkata laporan RCI Bagi Menyiasat Isu Pengurusan dan Operasi Lembaga Tabung Haji Dari Tahun 2014 hingga 2020 telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan.

Na’im turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Azman atas segala jasa bakti dan perkhidmatan terbaik dalam memimpin Lembaga Pengarah TH dan warga TH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.