Nadma arah jawatankuasa bencana negeri, daerah diaktif

Nadma arah jawatankuasa bencana negeri, daerah diaktif

Arahan itu susulan amaran hujan lebat tahap waspada di beberapa kawasan terutama di Pahang, Kelantan, Terengganu, dan Johor.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) meminta jawatankuasa bencana negeri dan daerah meningkatkan tahap kesiapsiagaan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah (JPBN/JPBD) diaktifkan berikutan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), tengah malam tadi.

Nadma dalam Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana meminta jawatankuasa tersebut meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang mungkin berlaku terutama di kawasan berisiko tinggi.

Selain itu, JPBN dan JPBD perlu memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas, dan pos kawalan tempat kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian mencukupi serta berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan.

“Nadma melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.

“NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80642429 dan alamat e-mel [email protected],” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, MetMalaysia memaklumkan hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Rompin, Pahang dan beberapa kawasan di Johor iaitu Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi, dan Johor Bahru sehingga esok.

Sementara di seluruh negeri Kelantan, Terengganu dan beberapa kawasan di Pahang iaitu Jerantut, Kuantan, dan Pekan hujan berterusan dijangka bermula esok hingga 25 Dis ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.