Larang kapal berlabuh, signal jelas tak iktiraf Israel, kata Fahmi

Larang kapal berlabuh, signal jelas tak iktiraf Israel, kata Fahmi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil juga menegaskan tindakan itu tidak sama sekali menjejaskan kegiatan perdagangan negara.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata keputusan melarang syarikat perkapalan Israel berlabuh di pelabuhan negara adalah selari dan selaras dengan dasar kerajaan tentang beberapa isu melibatkan Israel.
PUTRAJAYA:
Keputusan kerajaan menyekat sebuah syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel daripada berlabuh di pelabuhan dalam negara adalah signal jelas Putrajaya tidak mengiktiraf rejim Zionis itu termasuk membantu dari segi ekonomi, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata Malaysia tidak akan bersengkokol dengan Israel, dan mengulangi kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung tindakan itu tidak sama sekali menjejaskan kegiatan perdagangan negara.

“Tidak… Saya lihat ini adalah selari dan selaras dengan dasar kerajaan yang beri penegasan tentang beberapa isu melibatkan Israel.

“Saya lihat kita konsisten dan komitmen kita untuk perjuangan nasib rakyat Gaza,” katanya pada sidang media di Kementerian Komunikasi ketika ditanya sama ada tindakan kerajaan itu akan menjejaskan hubungan perdagangan.

Terdahulu, Anwar dalam kenyataan berkata Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat Zim yang berpangkalan di Israel berkuat kuasa serta merta.

Anwar turut menjelaskan kebenaran kepada syarikat itu berlabuh di Malaysia diberikan Jemaah Menteri pada 2002 diikuti tiga tahun selepas itu syarikat terbabit dibenarkan mendarat.

Tambah Anwar, berkuat kuasa serta merta Malaysia juga melarang kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

Dalam pada itu, Fahmi berkata walaupun tidak mempunyai angka yang spesifik mengenai jumlah kapal Zim yang berlabuh di pelabuhan negara, tetapi beliau yakin ia tidak akan menjejaskan aktiviti perkapalan dan penggunaan pelabuhan.

“Saya percaya jumlahnya tidak besar dan semestinya kerajaan akan teliti dari semasa ke semasa tentang isu ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.