Kerajaan larang kapal syarikat Israel berlabuh di Malaysia

Kerajaan larang kapal syarikat Israel berlabuh di Malaysia

Anwar Ibrahim berkata sekatan itu adalah tindak balas daripada kekejaman Israel ke atas Palestin.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan pimpinannya membatalkan kebenaran diberikan pentadbiran terdahulu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di pelabuhan dalam negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar dalam kenyataan berkata Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat ini berkuat kuasa serta merta.

“Sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan
terhadap warga Palestin,” katanya.

Beliau turut menjelaskan kebenaran kepada syarikat itu berlabuh di Malaysia diberikan Kabinet pada 2002 diikuti tiga tahun selepas itu pihak terbabit dibenarkan mendarat.

“Namun, kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet lalu.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia turut memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di negara ini,” katanya.

Anwar berkata berkuat kuasa serta merta Malaysia juga melarang kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

“Malaysia yakin keputusan tersebut tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.