
“Ini kerana tindakan melampau dan tiada perikemanusiaan Israel terhadap penduduk Palestin perlu dikeji dan apa-apa tindakan protes yang boleh dilakukan harus diambil,” kata bekas perdana menteri itu dalam kenyataan.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat Zim yang berpangkalan di Israel berkuat kuasa serta merta.
Anwar turut menjelaskan kerajaan membatalkan kebenaran kepada syarikat itu berlabuh di Malaysia diberikan Jemaah Menteri pada 2002 diikuti tiga tahun selepas itu syarikat terbabit dibenarkan pula mendarat.
Dalam pada itu, Mahathir yang mengetuai Putrajaya pada 2002 menjelaskan kebenaran diberikan kepada syarikat perkapalan Israel berlabuh pada waktu berkenaan kerana menaruh harapan Israel dan Palestin boleh berdamai.
Beliau berkata kerajaan juga sebelum ini pernah membenarkan pasukan kriket Israel dengan harapan rakyatnya dapat melihat penduduk Malaysia yang majoriti beragama Islam boleh hidup bersama rakyat beragama lain.
“Malangnya segala usaha itu jelas sia-sia kerana Israel selepas itu terus memperlihat sifat kebinatangannya dan terus membunuh rakyat Palestin,” katanya.
Mahathir juga berkata laluan berlabuh kepada Zim sebelum ini hanya sekadar kebenaran kepada perjalanan sesebuah kapal tanpa memperlihat sebarang sokongan kepada regim Israel dan tindakannya membunuh rakyat Palestin.