
Saman itu difailkan secara berasingan oleh Pengerusi DAP Lim Guan Eng, bapanya Lim Kit Siang serta Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok selaku plaintif pada 27 Nov lepas berhubung ucapan Siti Mastura dalam ceramah Majlis Himpunan Muslimat dan Ameerah PRK Kemaman.
Peguam SN Nair, yang mewakili ketiga-tiga pemimpin DAP, berkata mahkamah turut mengarahkan plaintif memfailkan jawapan kepada pembelaan itu sebelum atau pada 26 Jan 2024.
“Mahkamah menetapkan 9 Feb 2024 untuk pengurusan kes selanjutnya,” kata beliau menerusi aplikasi WhatsApp selepas pengurusan kes secara e-Semakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin.
Ketiga-tiga plaintif turut diwakili peguam Jaden Phoon Wai Ken dan Wong Guo Jin manakala peguam Mohamad Hakim Faharmi Hassan mewakili Siti Mastura selaku defendan.
Menerusi pernyataan tuntutan, ketiga-tiga plaintif mendakwa Siti Mastura mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mempunyai pertalian dengan bekas ketua parti Komunis Malaya Chin Peng serta bekas perdana menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew.
Mereka mendakwa ketika ceramah pada 4 Nov lepas, defendan telah membuat beberapa kenyataan yang merujuk secara langsung dan tidak langsung kepada ketiga-tiga plaintif iaitu mereka mempunyai hubungan dengan parti komunis, menyokong serta mengamalkan selain menyebarkan ideologi dan falsafah komunisme dalam negara.
Ketiga-tiga ahli politik itu menegaskan bahawa dakwaan defendan adalah tidak berasas, palsu serta berniat jahat kerana sengaja mengaitkan mereka dengan parti komunis dan Chin Peng.
“Tindakan defendan jelas sekali didorongi dengan tipu muslihat untuk mendapatkan publisiti bagi menaikkan imej parti politik defendan,” menurut ketiga-tiga plaintif dalam pernyataan tuntutan.
Oleh itu, mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menerbitkan kenyataan sama.