Projek asrama pekerja asing di Teluk Kumbar masih dipertimbang, kata exco

Projek asrama pekerja asing di Teluk Kumbar masih dipertimbang, kata exco

Ia susulan bantahan penduduk terhadap rancangan membina asrama pekerja asing di Teluk Kumbar kerana bimbang dengan aspek keselamatan mereka.

Jason H’ng Mooi Lye berkata, permohonan kebenaran merancang dikemukakan pemaju Jun lalu masih dalam pertimbangan, biarpun projek itu mendapat kelulusan Jawatankuasa Perancang Negeri. (Gambar Facebook)
BUTTERWORTH:
Kerajaan Pulau Pinang belum memuktamadkan perancangan membina asrama pekerja asing di Teluk Kumbar, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jason H’ng Mooi Lye.

Ini kerana, katanya permohonan kebenaran merancang (PKM) yang dikemukakan pemaju Tetuan Chong pada 27 Jun lalu masih dalam pertimbangan, biarpun projek itu mendapat kelulusan Jawatankuasa Perancang Negeri.

Beliau berkata, penilaian terperinci merangkumi pelbagai aspek perlu dilakukan, termasuk reka bentuk dan susun atur sebelum kelulusan diberikan untuk memulakan pembinaan.

“Saya difahamkan penilaian impak sosial (SIA) telah dibuat dengan turut melibatkan komuniti setempat bagi mendapatkan input serta pandangan mereka berkenaan projek ini.

“Selain SIA, setiap permohonan perlu melalui beberapa penilaian lain, termasuk penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi mengenal pasti sama ada tapak itu sesuai untuk pembinaan atau sebaliknya,” katanya selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu di Ampang Jajar di sini.

Beliau mengulas bantahan penduduk berkaitan rancangan pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar yang dirancang pada 30 Dis ini.

H’ng berkata, pihaknya memahami kebimbangan penduduk terhadap kesan projek itu, khasnya membabitkan keselamatan.

Pada Sidang Dewan Undangan Negeri 27 Nov lalu, beliau memaklumkan anggaran 32,680 pekerja asing akan ditempatkan di Teluk Kumbar berdasarkan kelulusan yang diperakukan Jawatankuasa Perancang Negeri.

Ia membabitkan pembinaan sebuah blok bangunan asrama pekerja setinggi 27 tingkat, terdiri daripada ruang kedai enam unit di aras satu, kemudahan rekreasi di aras satu dan dua serta 512 unit asrama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.