
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata jumlah penduduk Bumiputera lelaki adalah 10.8 juta orang manakala perempuan sebanyak 10.5 juta, dengan nisbah jantina 102 lelaki berbanding 100 perempuan.
Uzir berkata Bumiputera menyumbang 92.7% menerusi penyertaan dalam profesional dan 83.8% daripada jumlah penolong pegawai perubatan dan jururawat pada 2022.
Selain itu, beliau berkata Bumiputera turut menyumbang 60.8% sebagai juruukur tanah, 61.5% juruukur bahan, 52.8% doktor gigi dan 52.7% pereka dalaman.
Bagaimanapun, katanya Bumiputera mencatatkan penyertaan di bawah 50% bagi arkitek iaitu 41.2%, peguam (38.2%) dan akauntan (31.8%).
Uzir memaklumkan penemuan berkaitan tenaga buruh pada 2022 menunjukkan seramai 9.6 juta tenaga buruh adalah Bumiputera yang terdiri daripada 5.8 juta lelaki dan 3.9 juta wanita.
Bagi kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB), katanya Bumiputera meningkat kepada 67.1% berbanding 65.8% pada 2021, manakala dari segi jantina, KPTB bagi lelaki dan perempuan Bumiputera masing-masing adalah 80% dan 54.1%.
“Berdasarkan pencapaian pendidikan, sumbangan tenaga buruh Bumiputera yang berpendidikan peringkat menengah dan ke bawah adalah 62.3%,” katanya dan menambah 37.7% tenaga buruh Bumiputera berpendidikan ‘tertiari’ atau pendidikan tinggi.
Sementara itu, Uzir berkata kadar pengangguran dalam kalangan Bumiputera adalah 4% berbanding 5% pada 2021.
Dari segi statistik siswazah pula, menurutnya bilangan siswazah Bumiputera yang direkodkan sehingga 2022 adalah seramai 3.8 juta orang, terdiri daripada 1.7 juta lelaki dan 2.2 juta wanita.
Bagi pindah milik harta tanah pada 2022, Bumiputera merekodkan sebanyak 121,997 transaksi harta kediaman dengan sumbangan sebanyak 36.8% atau RM34.7 bilion kepada jumlah nilai pindah milik harta kediaman RM94.3 bilion.
“Bumiputera melakukan sebanyak 3,774 pindah milik harta tanah jenis komersil dengan nilai pindah milik bernilai RM2.1 bilion berbanding RM1.5 bilion pada tahun 2021,” katanya.
Statistik Bumiputera diterbitkan itu memaparkan statistik Bumiputera terpilih dalam bidang sosial dan ekonomi di peringkat nasional dan negeri untuk tahun rujukan 2015 hingga 2023.
Ia merangkumi statistik dalam bidang sosial dan ekonomi antaranya penduduk, guna tenaga, pendapatan dan perbelanjaan isi rumah, kesihatan, pelancongan, profesion berdaftar dan harta tanah.