
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Afzanizam Abdul Rashid berkata, memudahkan kemasukan pelancong dari negaea ekonomi besar akan membawa kesan limpahan serta-merta terhadap ekonomi tempatan.
Katanya, peningkatan sebanyak 1% dalam perbelanjaan pelancong akan menyaksikan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia meningkat sebanyak 1.4%.
“Pelancong asing biasanya memperuntukkan perbelanjaan mereka untuk membeli-belah (33.6%), penginapan (24%), makanan dan minuman (13.3%), pengangkutan tempatan (7.6%), dan lawatan (6.3%),” kata Afzanizam.
Naib Pengerusi Matta Sarawak Mok Venia bersetuju, berkata peningkatan ketibaan akan mewujudkan corak perbelanjaan baharu dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
Mok berkata, beliau menjangkakan ketibaan pelancong asing ke negara ini meningkat dua kali ganda, sambil menambah bahawa Malaysia mempunyai kelebihan daya saing berbanding negara jiran serantau berikutan mata wang tempatan yang “menguntungkan”.
Mereka berkata demikian susulan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim bulan lepas mengenai kemasukan 30 hari tanpa visa ke Malaysia untuk pengunjung dari China dan India, berkuat kuasa 1 Dis, berikutan langkah serupa oleh Thailand.
Statistik menunjukkan bahawa Malaysia menerima 9.16 juta pelancong dari Januari hingga Jun tahun ini, peningkatan 329.6% berbanding tempoh sama tahun lepas.
Pelancong-pelancong ini membawa masuk kira-kira RM30.12 bilion dalam bentuk terimaan, bersamaan dengan RM3,288.19 dalam perbelanjaan per kapita.
Ketika mengumumkan Belanjawan 2024 pada Oktober, Anwar menetapkan sasaran ketibaan dan terimaan tahun depan masing-masing sebanyak 16 juta orang dan RM49.2 bilion.
Sehingga Ogos 2023, ketibaan pelancong asing ke negara ini mencecah 13 juta orang.
Anwar, yang juga menteri kewangan, mengejutkan ramai pihak apabila menangguhkan Tahun Melawat Malaysia kepada 2026. Beliau berkata, langkah ini bertujuan memberi lebih banyak masa kepada pemain industri pelancongan untuk membuat persediaan dan mempromosikan negara.
Bagi 2026, kerajaan menyasarkan untuk mencapai 26.1 juta ketibaan pelancong, menjangkakan sehingga RM97.6 bilion dalam terimaan.
Afzanizam juga menggesa kerajaan agar mencipta produk pelancongan bidang khusus dengan memanfaatkan kepelbagaian kaum dan budaya, serta sejarah dan ekosistem semula jadi negara.
“Bidang khusus ini akan menjadikan kita menonjol di mata pelancong kerana ciri-ciri kita tidak dapat ditiru di tempat lain,” katanya.
Beliau mencadangkan agar kerajaan melabur dalam mencipta naratif sejarah dan menghidupkan semula tapak bersejarah melalui libat urus dengan ahli arkeologi dan ahli sejarah.
“Ini mungkin termasuk tapak bersejarah di Melaka, di mana budaya Cina dan India terpahat dalam sejarah negeri ini,” katanya.
Antara 2008 dan 2019, bahagian ketibaan pelancong China ke Malaysia meningkat daripada 4.3% kepada 11.9%, manakala bahagian warga India meningkat daripada 2.5% kepada 2.8%.