
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K Pathmanathan dalam kenyataan berkata saluran paip itu perlu ditutup bagi membolehkan kerja kimpalan bawah air dimulakan hari ini.
Gangguan bekalan air itu akan menjejaskan pengguna di Seberang Perai dan barat daya Pulau Pinang.
Pathmanathan berkata pasukan penyelam menemui lubang kira-kira 20cm x 30cm di permukaan saluran paip itu malam tadi dan pakar akan membaikinya dengan mengimpal plat keluli 60cm x 60cm di atas bahagian pecah terbabit.
“Sila ambil perhatian kerja-kerja kimpalan mesti dijalankan di bawah air, kira-kira 3.5m di bawah permukaan sungai. Kontraktor Pelabuhan Klang akan menentukan masa terbaik untuk memulakan kerja berdasarkan cahaya (untuk penglihatan) dan keadaan sungai (untuk keselamatan).”
Katanya PBAPP akan mengeluarkan senarai kawasan terjejas dalam masa terdekat.
Paip pecah itu ialah saluran utama yang menyalurkan air terawat dari loji rawatan air Sungai Dua ke saluran paip ketiga dasar laut, dari Butterworth di Seberang Perai Utara ke Macallum di Pulau Pinang.
Pathmanathan berkata, ia tidak dapat memberi notis awal kerana gangguan bekalan air tidak berjadual itu berpunca daripada kejadian tidak dirancang.
Tetapi, katanya PBAPP menasihatkan orang ramai melalui Facebook pada 12.30 pagi tadi untuk menyimpan air.
“PBAPP memohon maaf atas segala kesulitan. Kami akan memberikan kemas kini dengan kerap di Facebook hari ini,” katanya sambil menambah jangkaan tempoh gangguan bekalan air akan diumumkan selepas dimaklumkan pakar kontraktor yang menjalankan kerja pembaikan itu.