
SKKM mengingatkan orang ramai tindakan undang-undang boleh dikenakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selain menekankan pentingnya menghormati mangsa dan keluarga, serta pada masa sama menunjukkan empati yang tinggi.
“Jika sudah memuat naik atau berkongsi gambar atau video daripada kejadian berkenaan, orang ramai dinasihatkan untuk menurunkan hantaran atau memadam kandungan berkenaan.
“Selain itu, semua pihak turut dinasihati tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.
SKMM berkata, perkongsian gambar atau rakaman video mangsa tidak hanya akan melukakan perasaan keluarga mangsa, tetapi juga melanggar prinsip dan etika asas.
Katanya, setiap individu harus membuat pertimbangan sewajarnya untuk tidak menyebarkan gambar atau kandungan berkaitan tragedi berkenaan.
“SKMM menghulurkan rasa simpati kepada keluarga mangsa yang terlibat,” katanya.
Dalam kejadian 15 Dis lalu, seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta di Jalan Taman Jati berhampiran SMK Jati di Meru, dipercayai dipandu pegawai kanan polis berusia 44 tahun.
Pegawai berpangkat deputi superintendan itu didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.